Pacuan empat roda langgar tiang elektrik, remaja maut, empat cedera

Bernama
Jun 18, 2024 06:10 MYT
Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang merempuh tiang elektrik di Jalan Kuala Krai-Gua Musang. -Bernama
KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan maut dan empat cedera apabila sebuah pacuan empat roda merempuh tiang elektrik di Jalan Kuala Krai-Gua Musang hari ini.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.17 pagi daripada orang awam dan mengerahkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke lokasi.
"Sebuah Toyota Hilux telah terbabas melanggar tiang elektrik dan terdapat seorang remaja perempuan tersepit di dalam kenderaan itu dan mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas bomba," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata remaja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang mangsa mengalami kecederaan parah dan tiga lagi cedera ringan.
Mangsa yang cedera katanya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan kes diserahkan kepada polis.
-- BERNAMA
#rempuh tiang elektrik #remaja maut #Jalan Kuala Krai-Gua Musang #Toyota Hilux