Pacuan empat roda bertembung lori, seorang maut, dua cedera
Fadhil Selihin
November 27, 2022 18:34 MYT
November 27, 2022 18:34 MYT
LAHAD DATU: Seorang pemandu maut, manakala penumpangnya cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Batu 16, Jalan Lahad Datu - Sandakan, di sini, hari ini.
Pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux dikenali sebagai Sharif Zul, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala penumpang Toyota Hilux yang merupakan lelaki berusia 58 tahun, dan pemandu lori lelaki berusia 54 tahun, mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.48 tengah hari.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dihantar ke lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan lori bertembung. Terdapat tiga mangsa lelaki terbabit.
"Pemandu lori dan penumpang Toyota Hilux yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS, seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu Toyota Hilux yang berada di dalam kenderaan kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.20 petang," katanya lagi.