PAC tidak puas hati laporan NCIA berhubung lima projek akuakultur
Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2015 18:29 MYT
November 18, 2015 18:29 MYT
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini tidak berpuas hati dengan laporan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) berhubung lima projek akuakultur.
Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata pihaknya akan meminta pengurusan NCIA mengemukakan laporan yang lebih analitikal susulan Laporan Ketua Audit Negara 2014.
Selain itu, PAC juga akan memanggil semula Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Reda Rafiq Abdul Razak dan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri, Datuk Husni Hussain dalam masa terdekat.
"Kita tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberi, kita akan minta mereka... kita akan memanggil sekali lagi untuk memberi taklimat yang lebih lanjut kepada PAC," kata Hasan selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen hari ini.
Kedua-dua mereka, Reda Rafiq dan Husni hadir memberi keterangan kepada PAC pada mesyuarat tersebut.
Hasan memberitahu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014, projek ikan arwana, udang dan ikan hiasan di Perak dan Langkawi tidak berjalan dengan baik.
"Kita tidak gembira dengan banyak perkara melibatkan lima projek bernilai RM69 juta. Masalahnya banyak masalah, pengurusan tidak berjalan dan tidak capai KPI," katanya sambil menambah ia juga dikaitkan dengan kelemahan pemantauan NCIA walaupun mereka menggunakan alasan berlaku bencana alam.
Menurut Hasan, PAC memberi masa kepada mereka untuk menyediakan laporan analisis kerugian sebenar.