PAC puas hati penjelasan Kementerian Pendidikan tentang isu UPSI
T K Letchumy Tamboo
Jun 10, 2014 21:22 MYT
Jun 10, 2014 21:22 MYT
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak-pihak yang terlibat di dalam isu pengurusan pembinaan kampus Sultan Azlan Shah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya hari ini telah berjumpa dengan wakil dari Kementerian Pendidikan, UPSI, kontraktor yang terlibat serta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memperjelaskan kelemahan di dalam projek pembinaan kampus itu.
"Projek ini pada mulanya dijadualkan untuk bermula pada 1 Mei 2008 sehingga 2010. Tetapi projek ini hanya siap sepenuhnya pada 31 Januari 2012.
"Kini kerja penambahbaikan sedang dibuat pada bangunan itu ekoran sedikit masalah yang timbul dan ia dijanga siap sepenuhnya bulan ini.
"Kami berpuas hati (dengan penjelasan yang diberi). Yang penting, penambahbaikan telah dibuat. Walaupun projek ini menghadapi masalah pada peringkat awal, ia telah dibetulkan," katanya semasa satu sidang media selepas pertemuan dengan wakil-wakil yang terlibat di dalam projek berkenaan.
Nur Jazlan berkata kos projek itu adalah RM459.58 juta.
"Projek ini tidak melebihi bajet. Ia mengikut bajet yang ditentukan oleh kerajaan.
"Setakat ini, 5,000 pelajar sudah memasuki kampus ini dan dijangka sebanyak 10,000 pelajar akan menduduki kampus ini," katanya.
Di dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri Pertama Tahun 2013, Kementerian Pendidikan ditegur di dalam pengurusan pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, di mana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi dan UPSI masih tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) walaupun sudah beroperasi sejak 2012.
Empat kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya, akan turut dipanggil oleh PAC untuk memberikan penjelasan tentang kelemahan yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara.