PAC panggil Khairy, Tengku Zafrul dalam prosiding minggu depan
Astro Awani
Julai 21, 2021 16:58 MYT
Julai 21, 2021 16:58 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyambung prosiding berhubung Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia dengan memanggil semula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, minggu depan.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, pihaknya turut memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa dan Akauntan Negara, Datuk Yacob Mustafa pada petang itu.
"PAC pada 5 Januari 2021, memulakan prosiding berhubung perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya terhadap rakyat dengan mendengar penjelasan daripada Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
"Prosiding berhubung isu ini, menggunakan punca kuasa daripada PM77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan Jawatankuasa ini, memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa ini patut diperiksa," jelas kenyataan itu.
Mengambil kira perkembangan terbaharu mengenai perolehan vaksin COVID-19 sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa selama enam bulan, PAC turut berpendapat kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada jawatankuasa itu memandangkan senarionya sudah berubah berbanding Januari lalu.
"PAC komited untuk menyiapkan laporan mengenai isu ini dan membentangkan laporan ke Parlimen selewat-lewatnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat sidang Dewan Rakyat bermula Oktober hingga Disember depan," jelas kenyataan itu.