PAC mahu Kementerian Pertahanan pastikan peruntukan cukup sebelum mula projek
Bernama
November 15, 2016 14:20 MYT
November 15, 2016 14:20 MYT
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Kementerian Pertahanan supaya memastikan peruntukan kewangan mencukupi sebelum memulakan sesuatu projek di masa hadapan.
Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata cadangan itu susulan kelewatan dan beberapa kelemahan dalam projek pembinaan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kementerian itu di Jalan Padang Tembak, di sini.
"Projek lewat siap selama 389 hari dan kelemahan dari segi perancangan reka bentuk dan skop kerja.
"Selain itu, peningkatan kos projek lebih RM300,000, kelewatan menduduki bangunan selama 25 bulan, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal tidak sempurna dan rundingan harga dengan perunding kerja-kerja hiasan dalaman lewat dimuktamadkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini, berhubung Laporan PAC Pembinaan dan Pengurusan Wisma Perwira (WP) ATM, Jalan Padang Tembak, di sini di bawah Kementerian Pertahanan yang dibangkitkan dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1 di Dewan Rakyat pada 6 April 2015.
Hasan berkata prosiding PAC hari ini dibuat dengan mendapatkan penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Muhamad Radzi berhubung isu projek berkenaan.
Hasil prosiding itu, PAC merumuskan antaranya dalam projek reka dan bina, segala keputusan perlu dimuktamadkan pada peringkat awal, selain berlaku kelemahan dari segi kawal selia kontrak menyebabkan timbul permasalahan dalam projek itu.
"Kekurangan anggota dan kepakaran dalam pembinaan bangunan bertingkat dan kelemahan koordinasi dan prosedur operasi standard (SOP) telah menyebabkan banyak kelemahan yang boleh dieksplotasikan," katanya.
Hasan berkata PAC turut mengesyorkan supaya penambahbaikan dibuat dengan mewujudkan pemantauan terhadap kualiti kerja Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) Kementerian Pertahanan.
"Dalam pada itu, kawalan keselamatan bangunan perlu diuruskan sendiri kementerian berbanding memberi pengendalian kontrak kepada pihak lain bagi mengelakkan kos tambahan.
"PBKP perlu meningkatkan kepakaran dan kemampuan kepada standard JKR di masa hadapan dan Audit Dalam kementerian perlu memastikan kawalan dalaman dan SOP kementerian diperbaiki serta diperketat supaya kelemahan dapat dikurangkan," katanya.
Menurut beliau, walaupun WP telah siap, kementerian perlu membuat pemeriksaan tanah terlebih dahulu sebagai tindakan memastikan keperluan teknikal dipatuhi dan struktur bangunan selamat.
Laporan tersebut boleh didapati di laman web PAC di www.parlimen.gov.my/pac, katanya. -- Bernama