PAC kesan kelemahan tadbir urus Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global

Bernama
Disember 8, 2020 16:40 MYT
Kah Woh berkata antara kelemahan itu ialah ketiadaan wakil kerajaan dalam lembaga pengarah pada waktu tertentu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mendapati ada kelemahan dalam tadbir urus Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS) yang berperanan sebagai pusat sehenti menguruskan permohonan visa penuntut antarabangsa.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata antara kelemahan itu ialah ketiadaan wakil kerajaan dalam lembaga pengarah pada waktu tertentu, termasuk ketika pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) interim pada 17 Jan 2019, dan pemendekan tempoh pelantikan bekas CEO pada 24 Feb tahun berkenaan.
Beliau berkata PAC mendapati pelantikan CEO interim Shahinuddin Shariff tidak teratur berdasarkan amalan tadbir urus korporat kerana tempoh pelantikan CEO ketika itu, Datuk Dr Rujhan Mustafa, masih berkuat kuasa.
"PAC mendapati seorang pengurus kanan telah dilantik secara kontrak oleh EMGS tetapi secara pentadbiran ditempatkan di pejabat menteri pendidikan sebagai pegawai khas menteri. EMGS tidak mendapat manfaat dalam pelantikan ini dan menanggung gaji RM71,500 bagi tempoh 1 Nov 2018 hingga 15 April 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.
PAC hari ini membentangkan laporan berhubung pengurusan EMGS selepas memulakan prosiding pada September tahun lepas, susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 1 yang dibentang di Parlimen pada 15 Julai 2019.
Wong berkata PAC juga mendapati Sistem Pendaftaran Permohonan Pelajar (STARS) lemah dari segi penyimpanan data, khasnya Memo Periksa Keluar, menyebabkan isu penuntut yang tinggal melebihi tempoh tidak dapat dipantau.
"Tambah lagi, berlaku pengabaian terhadap keselamatan data kritikal dan penting mengenai pelajar asing di dalam negara dikendalikan syarikat swasta tanpa penyeliaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.
Justeru, beliau berkata PAC mengesyorkan supaya agensi kerajaan, badan berkanun atau syarikat kerajaan memastikan terdapat wakil kerajaan dalam lembaga pengarah masing-masing untuk memastikan setiap keputusan diambil sejajar dengan hala tuju kementerian.
Beliau berkata sistem STARS pula perlu dipertingkatkan dari segi penyimpanan data dan KPT harus memastikan semua data dalam sistem itu disimpan, diselia dan dimiliki oleh EMGS serta kementerian dan bukannya diserah atau dikawal selia syarikat vendor.
Katanya KPT juga perlu merangka model perniagaan baharu untuk EMGS memandangkan kemasukan penuntut asing ke Malaysia perlu terus ditingkatkan bagi membantu institusi pengajian tinggi awam dan swasta khususnya selepas pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#PAC #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #kelemahan tadbir urus #Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global #EMGS #Pengerusi PAC #Wong Kah Woh
;