PAC anjur sesi pendengaran awam isu premium insurans kesihatan, caj hospital swasta

Bernama
Februari 12, 2025 17:32 MYT
Mas Ermieyati berkata melalui sesi pendengaran awam itu, pandangan daripada semua pihak akan didengari secara terbuka dan akan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen.- Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan sesi pendengaran awam bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans kesihatan/Takaful, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam.

Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan sesi pendengaran awam mengenai peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta, dan impak kepada kesihatan awam.
  • Pandangan dari semua pihak akan didengar secara terbuka dan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen. PAC akan mengadakan prosiding tertutup selepas sesi pendengaran awam.
  • PAC menyokong langkah interim kerajaan dan Bank Negara Malaysia yang mengehadkan kenaikan premium insurans, tetapi penyelesaian jangka masa panjang perlu dikaji.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata melalui sesi pendengaran awam itu, pandangan daripada semua pihak akan didengari secara terbuka dan akan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Selepas daripada sesi pendengaran awam ini, PAC akan mengadakan prosiding secara tertutup di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memanggil saksi-saksi terdiri daripada pemegang taruh utama dalam isu ini terdiri daripada kementerian/jabatan dan agensi kerajaan berkaitan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut Mas Ermieyati, PAC menyambut baik langkah interim kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mengehadkan kenaikan premium insurans, namun, penyelesaian jangka masa panjang harus dikaji semula.
"Berikutan itu, PAC ingin membantu kerajaan merangka Private Healthcare Reform melalui prosiding yang komprehensif dengan semua pemegang taruh termasuk mendapatkan pandangan dan ulasan daripada rakyat," katanya.
Sesi pendengaran awam berkenaan akan diadakan di AC Marriott Hotel, Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 14 Feb, dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen Malaysia pada 21 Feb, dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari yang akan dikendalikan oleh ahli PAC yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebagai pengantara.
Sejak pendaftaran sesi pendengaran awam yang dibuka pada Jumaat lepas, 243 responden mendaftar sehingga hari ini iaitu 71 orang di Pulau Pinang manakala 172 orang di Kuala Lumpur.
Antara yang sudah mendaftar termasuk ahli-ahli Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia; Persatuan Farmasi Malaysia; Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Pada Disember lepas, BNM meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026.
Langkah itu bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.
Bulan lepas, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.
-- BERNAMA
#Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Mas Ermieyati Samsudin #premium insurans #hospital swasta #terkini
;