PAC akan panggil saksi beri keterangan isu projek 1BestariNet

Bernama
Mac 17, 2015 17:43 MYT
PAC akan memanggil beberapa saksi untuk memberikan penerangan berhubung kelemahan pelaksanaan fasa pertama Projek Perkhidmatan 1BestariNet. - Gambar Fail
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa saksi untuk memberikan penerangan berhubung kelemahan pelaksanaan fasa pertama Projek Perkhidmatan 1BestariNet yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan membabitkan peruntukan berjumlah RM663 juta.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata antara individu yang akan dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, bekas pegawai pengurusan dari pejabat pengurusan projek itu dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan.
"Ini kerana mereka ialah pegawai yang terlibat sewaktu projek ini mula dilaksanakan pada 2011.
Kemungkinan kami akan panggil mereka bagi (beri) penerangan pada bulan depan," katanya kepada pemberita selepas menpengerusikan mesyuarat PAC penggal kedua di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata dalam mesyuarat hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan namun bukan secara terperinci kerana ketika fasa pertama projek itu dilaksanakan Madinah belum lagi menyertai Kementerian Pendidikan.
"Tan Sri Dr Madinah menyertai Kementerian Pendidikan pada 2013 tetapi inisiatif pelaksanaan projek ini pada 2011. Ini tidak adil untuk beliau," katanya.
Nur Jazlan berkata PAC juga akan meminta penjelasan daripada Jabatan Galian dan Tanah berhubung isu berkenaan.
Katanya antara kelemahan yang dikenal pasti dalam pelaksanaan fasa pertama projek itu berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara adalah penyambungan internet ke tapak pengguna yang lewat disiapkan manakala Jawatankuasa Pemandu Projek dan Jawatankuasa Teknikal Projek tidak diwujudkan di peringkat kementerian.
"Kajian keperluan sekolah tidak dijalankan dan maklum balas soal selidik oleh sekolah-sekolah mendapati prestasi capaian jalur lebar tidak memuaskan," katanya.
Beliau berkata projek 1BestariNet dilaksanakan secara tiga fasa dalam tempoh 15 tahun dengan kos RM4.077 bilion.
"Setiap fasa lima tahun ... untuk fasa pertama ini sudah siap dalam tempoh dua tahun setengah, dalam fasa pertama ini pelaksanaan projek 1BestariNet dianggap gagal," katanya.
Nur Jazlan berkata projek 1BestariNet merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan dengan YTL Communications Sdn Bhd bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah.
Katanya projek itu melibatkan 10,000 sekolah yang dilengkapi dengan akses internet berkelajuan tinggi dan akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia.
Sementara itu, mengulas isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Nur Jazlan berkata jawatankuasa akan membantu Jabatan Audit Negara dalam melakukan penyiasatan.
Katanya PAC dijangka berjumpa dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang minggu depan untuk membincangkan skop dan tempoh kerja untuk mencegah sebarang pertindihan siasatan terhadap perkara itu.
"Ini mungkin akan memberi peluang kepada kami untuk memulakan pendengaran lebih awal," katanya.
Bergantung pada skop yang telah ditetapkan lebih awal oleh Ketua Audit Negara, Nur Jazlan berkata ia mungkin, antara lain melibatkan banyak isu dan sakis-saksi antarabangsa yang mungkin akan mengambil masa yang lama.
"Kami faham yang orang awam mahukan jawapan segera, tetapi kami tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara ini dan terus membuat rumusan kami, yang pastinya tidak profesional atau tidak disokong dengan keterangan dan bukti kukuh.
"Beliau (Ketua Audit Negara) akan menumpukan pada skop lain, yang memerlukan siasatan dan mungkin kami boleh tumpu pada perkara lain, seperti tadbir urus, bagaimana tadbir urus dalam 1MDB dilaksanakan.
"Isu 1MDB adalah luas, jika Ketua Audit Negara menelitinya dari aspek lebih luas, ia akan mengambil masa lebih lama. Kami mahu berbincang dari segi untuk kami meneliti isu ini dalam skop lebih kecil, yang kami dapat mulakan dahulu," katanya.
#1BestariNet #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Nur Jazlan #PAC
;