PAC-1MDB: Mohd Bakke, Shahrol Azral beri keterangan, media dilarang buat liputan
Harits Asyraf Hasnan
Februari 11, 2016 14:33 MYT
Februari 11, 2016 14:33 MYT
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneruskan prosiding terhadap bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi di sini hari ini.
Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan masuk ke Parlimen untuk membuat liputan prosiding tersebut yang bermula pukul 10.30 pagi tadi.
Pihak media juga dimaklumkan tiada sidang media akan dilakukan oleh Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, sekali gus media tidak dijemput untuk membuat liputan prosiding tersebut.
Menurut sumber, larangan kepada pihak media untuk masuk ke Parlimen dibuat selepas Hasan mengesahkan tiada sebarang sidang media akan dilakukan pada prosiding kali ini.
Sumber turut memaklumkan, prosiding keterangan Mohd Bakke selesai pada pukul 12.30 tengah hari tadi disambung pula sesi keterangan oleh Shahrol Azral.
Bagaimanapun, prosiding tersebut yang dijadual berakhir 1 petang ditangguhkan sebentar dan bermula semula pukul 2.30 petang.
Esok, prosiding PAC akan diteruskan di mana Shahrol akan meneruskan sesi keterangan dihadapan jawatankuasa itu.
Sebelum ini, sewaktu pendengaran kali kedua Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, pihak media juga dilarang masuk ke Parlimen bagi membuat liputan tersebut.