PAC-1MDB: Media dilarang masuk Parlimen pada prosiding kedua Arul Kanda
Harits Asyraf Hasnan
Disember 18, 2015 10:42 MYT
Disember 18, 2015 10:42 MYT
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneruskan prosiding buat kali kedua terhadap presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy di sini hari ini.
Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan masuk ke Parlimen untuk membuat liputan prosiding tersebut yang bermula pukul 9.15 pagi tadi.
Pihak media juga dimaklumkan tiada sidang media akan dilakukan oleh Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, sekali gus media tidak dijemput untuk membuat liputan prosiding tersebut.
Menurut sumber, larangan kepada pihak media untuk akses masuk ke Parlimen dibuat selepas Hasan mengesahkan tiada sebarang sidang media akan dilakukan pada prosiding kali ini.
Malah, wartawan Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang berpejabat di bangunan Parlimen juga tidak dibenarkan masuk.
Arul Kanda dilihat keluar dari bangunan Parlimen pada pukul 12.10 tengah hari tanpa berhenti ketika ditahan media.
Pada 1 Disember lalu, Arul dipanggil buat kali pertama untuk memberi keterangan kepada PAC.
Laporan Akhir Ketua Audit Negara 2015 berkaitan 1MDB yang dijadual diserahkan kepada PAC semalam juga ditangguhkan.