P.Pinang tubuh j/kuasa khas bantu kakitangan MAS diberhentikan kerja
Bernama
Jun 6, 2015 10:07 MYT
Jun 6, 2015 10:07 MYT
Kerajaan Pulau Pinang menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membantu kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan kerja.
Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy berkata jawatankuasa dipengerusikan oleh beliau sendiri itu, bertujuan membantu mereka yang terlibat dengan langkah pemberhentian kerja warga MAS, bagi mendapatkan pekerjaan baharu bersesuaian dengan kepakaran masing-masing.
"Kita rasa bertanggungjawab memberi satu harapan kepada pekerja MAS yang hilang pekerjaan. Kita akan membantu dari dua segi iaitu penempatan kerja dan perundangan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kakitangan MAS yang terlibat perlu mendaftar dengan Pusat Bantuan dan Latihan Kerjaya (CAT) Pulau Pinang bagi memudahkan pihaknya mendapatkan kerja baharu kepada mereka yang diberhentikan kerja.
"Bantuan ini tidak terhad untuk pekerja MAS di Pulau Pinang sahaja, malah seluruh negara sekiranya mereka memerlukan bantuan," katanya.
Ramasamy berkata jawatankuasa itu turut dianggotai beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dan wakil dari industri termasuk hotel, Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia, Badan Perhubungan Sumber Manusia Pulau Pinang, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja dan Persatuan Syarikat Perindustrian Bebas Pulau Pinang.
Sementara itu, ADUN Seri Delima R.S.N Rayer yang turut hadir pada sidang media itu berkata selain bantuan mendapatkan pekerjaan baharu, jawatankuasa itu juga memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mereka yang terlibat, di kawasan ADUN masing-masing.
"Saya berharap CAT dapat menyalurkan maklumat berhubung keluarga pekerja terlibat kepada ADUN bagi memudahkan kami membantu dari segi kebajikan. Ia juga bagi meringankan bebanan yang ditanggung keluarga kakitangan yang diberhentikan kerja itu," katanya.