P. Pinang tidak bantah KXP, tapi risaukan impaknya - Chow

Bernama
Mei 3, 2019 06:00 MYT
Chow Kon Yeow berucap pada majlis pelancaran buku kecil Pulau Pinang 2030 pada 27 April lalu. - Foto BERNAMA
Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membantah cadangan pelaksanaan projek Lapangan Terbang Kulim (KXP), selagi perancangnya tidak memberikan kesan kepada negeri ini, kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow, malam tadi.
Katanya, walaupun projek tersebut dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan tidak melibatkan peruntukan kerajaan, namun perhatian perlu diberikan terhadap implikasi projek tersebut kepada Pulau Pinang.
"Sehingga kini, kami tidak katakan yang kami bantah projek KXP. Kami hanya nyatakan kebimbangan kami 'dalam sikap terbaik' dan melihat bagaimana ia akan memberikan kesan kepada Pulau Pinang. Dalam hal ini, mungkin ia baik untuk Kulim, tetapi ianya mungkin tidak bagus untuk Pulau Pinang," katanya dalam sidang media di akhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Katanya Kerajaan Pusat dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tidak membantah pelaksanaan projek tersebut, kerana ianya dilaksanakan melalui PFI, tetapi pembiayaan seperti itu sahaja tidak sepatutnya menjadi faktor untuk kelulusannya.
"Inisiatif pembiayaan swasta (PFI) tidak boleh menjadi sebab tunggal (untuk kerajaan) bagi melaksanakan sesuatu projek," katanya ketika mengulas kenyataan Lim baru-baru ini yang menyatakan tidak ada sebab cadangan membina KXP di Kedah ditolak, kerana ianya dibina oleh pihak swasta melalui PFI.
Mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, yang menyatakan KXP akan menjadi pelengkap kepada pusat kargo di wilayah utara, Chow berkata, cadangan itu perlu melalui semua proses yang ada.
"Kami mengambil maklum jaminan Menteri Besar itu oleh kerana ia masih diperingkat awal dalam pelaksanaan projek tersebut, tetapi pertamanya, mesti ada sebuah syarikat PFI yang akan datang membuat cadangan. Saya percaya cadangan itu perlu melalui pelbagai proses, seperti yang telah kami buat untuk PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang)," katanya.
Mengulas mengenai pilihan ketiga yang telah beliau sebut ketika sesi soal jawab ketika Persidangan DUN semalam untuk melakukan sinergi antara lapangan terbang Kulim-Penang, Chow berkata, kedua-dua lapangan terbang tersebut perlu mencari satu sinergi dan pasaran yang hendak mereka penuhi.
"Kami fikirkan empat senario yang telah saya kongsikan, berkemungkinan untuk dilaksanakan. Ia bergantung kepada keputusan yang kita buat, pilihan mana yang kita nak laksanakan. Untuk pilihan ketiga, kita perlu melihat sama ada ia merupakan satu cadangan yang boleh dilaksanakan atau tidak. Ia juga sesuatu yang boleh dijadikan pilihan," katanya.
Tiga pilihan lain yang telah beliau nyatakan adalah untuk membesarkan PIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang) ke tahap kapasiti optimum, bina lapangan terbang baharu di Pulau Pinang dan untuk hanya memfokuskan kepada KXP. -- Bernama
#Chow Kon Yeow #KXP #Lapangan Terbang Kulim #pulau pinang
;