P. Pinang tetapkan tiga kadar zakat fitrah
Bernama
Mac 17, 2023 20:19 MYT
Mac 17, 2023 20:19 MYT
KEPALA BATAS: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM13 dan RM20 di negeri itu tahun ini.
Yang Dipertua MAINPP Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata kadar itu ditetapkan setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang.
"Kadar minimum perlu dibayar oleh setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7 dan digalakkan bagi yang menggunakan beras wangi atau seumpama atau setara sebanyak RM13, dan mereka yang menggunakan beras basmati atau seumpama atau setara, sebanyak RM20.
"Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mereka dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang Datuk Amran Hazali.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata pada tahun ini, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.7 juta berbanding kutipan tahun lepas iaitu RM6.59 juta.
Katanya kutipan zakat fitrah pada 2022 itu meningkat 6.9 peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan RM6.02 juta dan faktor peningkatan itu ialah kesungguhan para amil fitrah yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab yang bersungguh-sungguh sehingga mencatatkan peningkatan besar.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga menasihatkan kepada umat Islam di Pulau Pinang agar membayar zakat fitrah mereka kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.
"Pada tahun ini, pusat kutipan yang dilantik oleh MAINPP adalah sebanyak 237 kariah dengan jumlah amil yang ditauliahkan sebanyak 1,699 orang di seluruh negeri Pulau Pinang.
"Pihak MAINPP turut menyediakan beberapa kaedah pembayaran untuk memberi kemudahan kepada umat Islam iaitu bayaran melalui amil di masjid, surau atau lokasi tumpuan ramai seperti kompleks beli-belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih," katanya.
Ahmad Zakiyuddin berkata selain pembayaran zakat fitrah melalui amil yang telah dilantik, Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga menyediakan kaedah dalam talian seperti melalui portal zakatpenang2u.com dan JomPay serta beberapa kaedah digital yang akan dimaklumkan menjelang Ramadan nanti.
-- BERNAMA