P. Pinang teruskan Pas Mutiara dengan peruntukan RM7.5 juta
Bernama
Disember 20, 2023 11:54 MYT
Disember 20, 2023 11:54 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan pembiayaan Pas Mutiara tahun depan dengan jumlah peruntukan RM7.5 juta susulan sambutan memberangsangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah seliaan bas Rapid Penang akan kekal percuma di seluruh negeri dengan penggunaan pas tersebut.
"Kerajaan negeri merupakan satu-satunya kerajaan yang membiayai sepenuhnya kos pengangkutan awam melalui penajaan Pas Mutiara demi menggalakkan rakyat untuk menukar mod pengangkutan daripada kenderaan persendirian ke pengangkutan awam dan mengurangkan kos sara hidup mereka.
"Secara tidak langsung, dengan penajaan langganan Pas Mutiara My50 ini juga pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan tol yang jauh lebih tinggi setiap bulan," katanya.
Program penajaan Pas Perjalanan Tanpa Had atau lebih dikenali sebagai Pas Mutiara itu bermula sejak 1 Mac 2021.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM16.5 juta telah diperuntukkan khusus untuk inisiatif itu yang semakin mendapat sambutan dengan peningkatan jumlah pembelian dan pembaharuan serta bilangan penumpang.
- BERNAMA