P. Pinang terus lakukan pembenihan awan
Bernama
Mei 13, 2023 21:03 MYT
Mei 13, 2023 21:03 MYT
BUTTERWORTH: Pulau Pinang akan terus memohon operasi pembenihan awan bagi memastikan rizab air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, dekat sini, mencapai 50 peratus.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata operasi pertama yang dilaksanakan pada 2 hingga 4 Mei lepas boleh dianggap membuahkan hasil susulan berlaku hujan di kedua-dua kawasan tersebut walaupun hanya sedikit hujan direkodkan.
"Semasa gelombang pertama pembenihan awan dan berlaku hujan yang mana di Empangan Teluk Bahang menyamai penggunaan bekalan air penduduk selama 3.5 hari, manakala bekalan air yang diperolehi di Empangan Air Itam menyamai penggunaan setempat selama sehari.
"Walaupun jumlahnya kecil namun amat membantu kita mempersiapkan bekalan supaya sumber air bersih dapat terus disalurkan kepada pengguna dan kita akan memohon bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk operasi pembenihan awan akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas meninjau perkembangan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir. K. Pathmanathan.
Pada 2 Mei lepas, TUDM dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang selepas rizab air mentah di kedua-dua empangan itu menurun.
Sementara itu, Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata kerajaan negeri menerusi perbadanan itu akan menggunakan strategi berbeza bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi, khususnya dalam berdepan situasi panas ketika ini.
Katanya kaedah itu tertakluk kepada cara pengurusan pengagihan bekalan air supaya rizab air mentah Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam dapat memenuhi keperluan pengguna.
"Strateginya adalah dengan menggunakan sumber lain iaitu ambil air dari kolam air Bukit Dumbar untuk disalurkan ke Empangan Air Itam, melalui kaedah itu katakanlah paras air Empangan Air Itam terus menurun, sekurang-kurangnya ia akan turun sedikit demi sedikit.
"Selain itu, kita akan dapat mengukuhkan paras air sekali gus memanjangkan tempoh untuk bertahan sementara keadaan kembali pulih," katanya.
-- BERNAMA