P. Pinang sedia terima pelancong VTL dari Singapura

Bernama
Mac 15, 2022 15:05 MYT
VTL antara Pulau Pinang dan Singapura yang bermula esok melibatkan penerbangan harian beberapa syarikat antaranya AirAsia dan Singapore Airlines. - Bernama
GEORGE TOWN: Pulau Pinang telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan kelancaran untuk menyambut ketibaan penumpang menerusi Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Pulau Pinang dan Singapura esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya juga bersedia menyambut kedatangan mereka sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kedua-dua negara.
"VTL antara Pulau Pinang dan Singapura yang bermula esok melibatkan penerbangan harian beberapa syarikat antaranya AirAsia dan Singapore Airlines, saya difahamkan dari segi tempahan tiket (penerbangan) baik.
"Saya juga telah membuat lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) baru-baru ini bagi memastikan dan melaksanakan perancangan rapi serta semua langkah yang diperlukan di lapangan terbang untuk memastikan penerbangan menerusi program VTL udara antara Pulau Pinang dan Singapura berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengurus Kanan LTAPP Mohd Nadzim Hashim di sini hari ini.
Yeoh berkata program VTL itu akan memainkan peranan penting sebelum pengoperasian semula sepenuhnya pelancongan antarabangsa kerana ia akan menjadi penanda aras untuk aktiviti pelancongan antarabangsa pada masa hadapan.
Beliau berharap semua pihak terutama pelancong dan penggiat industri pelancongan yang menyertai program VTL itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya setakat ini pihaknya tidak dapat menjangkakan jumlah pelancong yang akan tiba di Pulau Pinang menerusi program VTL tersebut kerana pihak berkaitan masih menerima tempahan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Mohd Nadzim berkata pihaknya telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan kelancaran selain SOP di lapangan terbang itu mengikut seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata terbaharu, lapangan terbang itu menerima pengiktirafan Global Health Tourism daripada Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) iaitu sebagai sebuah lapangan terbang yang sesuai diuruskan ketika pandemik COVID-19.
"Kalau sebelum ini terdapat dua penerbangan antara Pulau Pinang dan Singapura namun bermula esok sekurang-kurangnya empat penerbangan membabitkan laluan tersebut dan secara dasarnya kami telah bersedia untuk memenuhi keperluan pelancong yang tiba di LTAPP.
"Lagipun kita ada pengalaman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi program VTL di sana, jadi di LTAPP kami telah mengambil semua langkah yang sepatutnya supaya semuanya berjalan lancar dan turut menyediakan fasiliti terbaik termasuk pusat saringan COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #VTL #pelancong #Singapura
;