P. Pinang sedia ambil alih feri ikonik jika SPPP dan PPSB sudi 'hadiahkan' feri
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 8, 2021 22:17 MYT
Januari 8, 2021 22:17 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedia mempertimbangkan untuk mengambil alih feri ikonik di negeri itu sekiranya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sudi "menghadiahkan" feri itu kepada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari memaklumkan sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan pengambilalihan pemilikan feri-feri tersebut.
Zairil berkata, ketetapan itu diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada Rabu lepas.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat memahami sentimen rakyat negeri ini yang rata-rata tidak bersetuju dengan penamatan perkhidmatan feri ikonik, sebagai usaha untuk memelihara kesinambungan feri tersebut, pihak kami akan mempertimbangkan pengambilalihan pemilikan feri-feri tersebut.
"Memandangkan SPPP dan PPSB tidak mempunyai rancangan masa depan untuk mengekalkan feri-feri ikonik sebagai mod pengangkutan, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mencadangkan agar feri-feri tersebut diberikan sebagai “hadiah” kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Zairil berkata beliau sendiri akan berhubung dengan SPPP selaku pihak berkuasa dalam perkara itu bagi membincangkan cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tersebut.
Jelasnya, sejak 1 Januari lepas, perkhidmatan bot penumpang laju antara Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan Terminal Swettenham Pier Cruise, di Georgetown telah menggantikan perkhidmatan feri ikonik yang sudah lama terkenal sebagai salah satu lambang simbolik negeri Pulau Pinang.
Katanya bot laju itu hanya untuk kegunaan penumpang sahaja manakala penunggang motosikal dan basikal masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan sebuah feri lama yang dikekalkan buat sementara waktu sehingga ketibaan pengangkut kenderaan (vehicle transporter) yang dijangka sampai pada pertengahan 2022.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air bermula 1 Januari, diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022.
Pada 17 Disember lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada 2021 dan 2022.
#kerajaan
#feri
#bot
#pulau pinang
#feri ikonik
#Pengangkutan Pulau Pinang
#SPPP
#PPSB
#Zairil Khir Johari