P. Pinang pantau KTA Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang
Bernama
Mac 3, 2024 20:30 MYT
Mac 3, 2024 20:30 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memantau kawasan tadahan air (KTA) di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sebelum membuat keputusan berhubung pembenihan awan kedua berikutan telah berlaku hujan di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang semalam telah merekodkan taburan hujan sebanyak 11.5 milimeter (mm) di Empangan Air Itam dan 3.0mm di Empangan Teluk Bahang manakala Empangan Mengkuang mencatatkan 47.0mm dalam tempoh dua hari.
"Jadi kita akan pantau rapi situasi hujan, sebab kalau sudah mula hujan mereka (Agensi Pengurusan Bencana Negara) akan timbang (untuk lakukan pembenihan awan) dan jika perlu kita akan mohon lagi (pembenihan awan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang(JBPP), di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan tiada hujan direkodkan semasa atau selepas dua operasi pembenihan awan dilakukan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, pada Selasa dan Rabu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya K. Pathmanathan dilaporkan berkata perkara itu berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa berkenaan.
Mengulas lanjut, Chow berkata kerajaan negeri juga memastikan kapasiti efektif Empangan Air Itam mencapai 50 peratus menjelang Mei ini.
Katanya, pelbagai usaha dijalankan antaranya menerusi Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) dan paras terkini Empangan Air Itam hari ini adalah pada kadar 37 peratus.
''Kita cuba melihat keadaan Empangan Air Itam dipulihkan sampai kapasitinya mencapai 50 peratus menjelang Mei, lazimnya pada April adalah bulan hujan di Pulau Pinang tetapi dengan perubahan iklim kita perlu pantau keadaan," katanya.
-- BERNAMA