P. Pinang mohon Mahkamah Tinggi segera bicara empat ADUN

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 19, 2022 18:19 MYT
Kon Yeow berkata, sebarang keputusan mahkamah akan menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit sebagai kosong. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang masih menunggu tarikh bicara dari pihak Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung tiga saman pemula (OS) yang difailkan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak lagi menyokong Pakatan untuk menghalang kerusi disandang mereka dari dikosongkan.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap Mahkamah Tinggi akan segera memberi tarikh bicara berhubung perkara tersebut.
Kon Yeow berkata, perkara itu sudah dirujuk ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan pihaknya kini menungu keputusan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan keperlembagaan Perkara 14A.
"Jadi isu ini kita Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) mahu menunggu perkara ini dirujuk balik dan kita pun sudah minta untuk dapat satu tarikh bicara dengan segera.
"Kita pun mahu lihat apakah keputusan Mahkamah sTinggi etelah Mahkamah Persekutuan buat keputusan sedemikian," katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) dalam kes tersebut kerana di bawah undang-undang negara, PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU).
Kon Yeow berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penang Signature Gold & Jewellery Fairs (PSG) 2020 di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas pada Jumaat.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020 perlu mengosongkan kerusi mereka.
Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) mengarahkan peguam cara negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang untuk tarikh awal berhubung ketiga-tiga saman pemula (OS) yang difailkan oleh keempat-empat ADUN tersebut.
Pada Khamis, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengadakan mesyuarat khas seawal mungkin selepas September untuk meminda dan menyelaraskan Perlembagaan Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan, selepas perkenan diraja dan pewartaan pindaan perlembagaan yang melarang Ahli Parlimen melompat parti.
Ia bagi membolehkan peruntukan anti lompat parti berkuat kuasa tepat pada masanya bagi kerusi DUN di Pulau Pinang apabila pilihan raya umum diadakan.
Ia juga bagi membolehkan DUN meminda perlembagaan negeri dengan memasukkan peruntukan melarang pemimpin yang dipilih bertukar parti, selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan seperti yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
#perbicaraan empat ADUN #Mahkamah Tinggi #pulau pinang #Chow Kon Yeow
;