P. Pinang minta majikan teruskan saringan COVID-19

Bernama
Februari 5, 2021 04:10 MYT
Chow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melaporkan bahawa sehingga Khamis, terdapat tujuh kluster aktif di negeri ini. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menyeru para majikan untuk meneruskan inisiatif ujian saringan dalam kalangan pekerja mereka, sebagai usaha membendung penularan COVID-19.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sehingga Khamis, seramai 47,446 warga asing berdaftar dan tidak berdaftar di bawah Program Saringan COVID-19 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang, telah menjalani ujian saringan.
"Para majikan adalah diseru untuk meneruskan inisiatif saringan dalam kalangan pekerja, manakala kekangan kos serta penyediaaan stesen kuarantin yang dihadapi, akan diusahakan pihak-pihak berkaitan dengan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, Chow menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang - Pengurusan Pandemik COVID-19, yang berlangsung secara sidang video pagi semalam.
Katanya, JKKN telah memberi penekanan terhadap usaha mengetatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Feb ini.
Chow berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa sehingga Khamis, terdapat tujuh kluster aktif di negeri ini.
"Bagi mengendalikan penilaian pesakit yang menjalani rawatan di rumah, sebanyak 27 buah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) telah diwujudkan, termasuk secara pandu lalu," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #COVID-19 #ujian saringan #warga asing #SOP #pandemik #kesihatan #perkeso #CAC #Chow Kon Yeow #Pekerja #majikan #kuarantin #kluster #pandu lalu
;