P.Pinang lancar pengalaman teknologi AR tingkat pelancongan
Bernama
Mac 30, 2023 04:47 MYT
Mac 30, 2023 04:47 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan teknologi Realiti Maya (VR) dalam meningkatkan sektor pelancongannya menerusi platform Google.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata teknologi itu dalam pelancongan dapat memberikan pengalaman VR yang mengasyikkan dan menarik kepada pelancong, sekali gus mewujudkan kelebihan daya saing buat Pulau Pinang.
"VR dapat berfungsi sebagai alat pemasaran berkuasa dan dinamik dalam mempromosikan industri pelancongan negeri dengan sistem lapisan maklumat dinamik yang mudah digunakan.
"Pengalaman yang mengasyikkan dan interaktif disediakan oleh VR yang disepadukan dengan platform Google akan memberikan maklumat lebih tepat tentang tempat menarik dan perniagaan tempatan," katanya kepada pemberita pada pelancaran VR berkenaan di sini pada Khamis.
Selain itu, Yeoh berkata sejak sempadan dibuka semula pada April 2022, Pulau Pinang mengalami kadar pemulihan sebanyak 64.34 peratus dengan sejumlah 184 penerbangan pada Disember 2022 berbanding 286 penerbangan pada Julai 2019.
"Angka ini ialah hasil usaha dan inisiatif yang tidak putus-putus ketika pemulihan semakin kukuh walaupun kebanyakan negara Asia hanya melonggarkan sempadannya pada suku keempat 2022," katanya.
Justeru, Yeoh berkata projek VR ini ialah alat berkesan untuk mempromosikan pelancongan kerana ia memberikan gambaran kepada pelancong tentang apa yang ditawarkan di negeri ini.
Beliau berkata orang ramai boleh merasai pengalaman VR di Pulau Pinang dengan memuat turut aplikasi "Welcome to Penang" dalam Google Play atau App Store dan mereka juga boleh melihatnya menerusi laman web streetview.my/welcometopenang.
"Inisiatif pelancongan pintar seperti penggunaan VR dan Realiti Terimbuh (AR) boleh merevolusikan cara pelancong meneroka dan merasai pengalaman di Pulau Pinang dengan menyediakan pandangan ringkas, peta dan pengalaman maya destinasi pelancong popular ... pengunjung dapat pratonton tempat menarik dan merancang perjalanan mereka.
"Saya harap produk VR ini akan membantu mempromosikan Pulau Pinang dan meningkatkan keterlihatan, menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka destinasi yang indah ini," katanya.
-- BERNAMA