P.Pinang kenal pasti 281 kawasan mudah banjir
Bernama
September 15, 2022 21:56 MYT
September 15, 2022 21:56 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah mengenal pasti 281 lokasi kawasan mudah dilanda banjir di lima daerah di negeri itu, kata Pengarahnya Saadon Mokhtar.
Beliau berkata ketika ini pasukan JBPM Pulau Pinang telah bersiap sedia bagi menghadapi monsun timur laut dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mengenai banjir besar yang dijangka melanda beberapa negeri Semenanjung pada November ini.
"Berdasarkan maklumat, kami telah kenal pasti 281 lokasi kemungkinan berlaku banjir di Pulau Pinang iaitu 86 lokasi di daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara (56), Seberang Perai Selatan (49), Timur Laut (55) dan Barat Daya (45).
"Seramai 1,701 pegawai dan anggota di 20 balai seluruh negeri termasuk pasukan bomba sukarela, berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi monsun ini dan persedian kami kali ini adalah lebih baik berbanding monsun timur laut tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media melaporkan MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.
Mengulas lanjut, Saadon berkata JBPM negeri juga telah mula mempersiapkan anggota dengan mengadakan latihan pengukuhan pasukan khas iaitu pasukan pelbagai skill atau must team, latihan pengukuhan pasukan operasi taktikal khas and pasukan menyelamat rescue team of Malaysia atau pasukan Storm.
"Latihan bermula dari 12 Sept hingga esok untuk kedua-dua latihan tersebut dan kami juga akan mengadakan latihan pengukuhan bagi pasukan penyelamat di air pada 19 Sept hingga 23 Sept depan bagi memastikan semua anggota bomba kita lengkap dengan kemahiran menyelamat," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga telah menyediakan keperluan aset melibatkan 24 buah kenderaan marin iaitu bot aluminium dan 55 buah kenderaan pelbagai fungsi antaranya kenderaan penarik, pengangkutan logistik serta kenderaan untuk pemindahan mangsa.
"Kami juga akan membuat latihan pengendalian bot secara menyeluruh, melibatkan 20 balai pada 29 Sept nanti latihan ini adalah persediaan dan persiapan yang telah kami buat, untuk hadapi apa-apa kemungkinan berlaku pada monsun akan datang," katanya.
Dalam pada itu, katanya Pulau Pinang juga menjadi negeri yang dipilih menjadi pusat pengurusan Pangkalan Hadapan Wilayah (RFB) Wilayah Utara bagi berdepan monsun timur laut tahun ini dan ia berupaya mengukuhkan serta memanfaatkan kekuatan anggota di wilayah Utara pada tahap optimum, di mana anggota dari negeri yang tidak terjejas akan digerakkan ke negeri terjejas banjir.
"RFB Wilayah Utara yang berpusat di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Perda berfungsi sebagai penempatan anggota dan logistik mengikut negeri, yang melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis," katanya.
-- BERNAMA
#JBPM Pulau Pinang
#bomba
#lokasi mudah banjir
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Saadon Mokhtar
#monsun timur laut
#banjir besar