P. Pinang ikut keputusan PH, tidak bubar DUN jika PRU15 tahun ini - Ketua Menteri

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 6, 2022 17:32 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang kekal mengikut keputusan terkini Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tetap diadakan tahun ini.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pendirian tersebut sudah dinyatakan kepada pimpinan tertinggi PH dan pihaknya kekal dengan keputusan sebagaimana yang sudah dimuktamadkan semalam iaitu membubarkan DUN pada tahun hadapan.
Mengulas mengenai dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa PH tidak membubarkan DUN kerana takut dengan kekalahan sebelum ini, Kon Yeow enggan mengulas lanjut namun berkata, semua keputusan hanya akan diketahui apabila pilihan raya negeri (PRN) diadakan kelak.
“Kekal sajalah, Pulau Pinang telah menyampaikan kepada pimpinan PH semalam sebagaimana (keputusan) Menteri Besar dua negeri yang lain, seperti diumumkan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tiga negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
Pendirian itu, berikutan pentadbiran ketiga-tiga negeri itu yang mahu memberi tumpuan kepada menangani isu banjir.
#pulau pinang #bubar DUN #Dewan Undangan Negeri #Chow Kon Yeow #Ketua Menteri #Pakatan Harapan #PH #PRU15 #pilihan raya umum
;