P.Pinang cadang kemuka RFP untuk wujudkan teksi air

Bernama
November 14, 2018 12:10 MYT
Para pelancong menunggu giliran menaiki teksi air untuk ke destinasi snorkeling di jeti nelayan, Pulau Perhentian di Besut, Terengganu. - BERNAMA/Fail
Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengemukakan permohonan cadangan (RFP) bagi mewujudkan perkhidmatan pengangkutan air terbaharu yang dikenali sebagai 'water taxi' atau teksi air di negeri berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan perkhidmatan teksi air telah mula dipromosikan sejak pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) pada 2016, namun tiada sebarang tindakan diambil berhubung perkara itu sehingga kini.
"Saya tidak boleh tunggu lagi dan mengarahkan pegawai saya untuk membuka semula RFP bagi memperkenalkan perkhidmatan awam yang baharu ini.
"Mungkin Rapid Ferry Sdn Bhd juga boleh masuk tender memandangkan feri adalah satu-satunya perkhidmatan awam air buat masa ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Katanya, perkhidmatan air kurang diberi penekanan dan perhatian namun kerajaan negeri akan berusaha untuk melihat lokasi strategik dalam menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar.
"Antara kawasan yang dilihat berpotensi untuk dijadikan lokasi perhubungan di bahagian pulau adalah Tanjung Tokong, Jelutong, Georgetown dan Bayan Baru sementara di bahagian tanah besar antaranya Butterworth, Prai, Bukit Tambun, Batu Kawan dan Nibong Tebal," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkhidmatan feri, Chow berkata jumlah kutipan perkhidmatan berkenaan adalah kurang berbanding kos operasi yang menyebabkan Penang Port Sdn Bhd melepaskannya kepada Penang Ferry Sdn Bhd.
"Bagaimanapun, kita sedang menunggu maklum balas syarikat Prasarana Malaysia Berhad yang kini sedang merangka cadangan menyeluruh berhubung penambahbaikan bagi perkhidmatan berkenaan," katanya.
#Chow Kon Yeow #prasarana #PTMP #pulau pinang #rapid ferry #teksi air #water taxi