P. Pinang berusaha tambah penerbangan terus dari tiga negara
Bernama
Januari 18, 2024 14:35 MYT
Januari 18, 2024 14:35 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedang berusaha menambah tiga penerbangan antarabangsa baharu terus dari India, Shanghai (China) dan Dubai (Emiriah Arab Bersatu) untuk merancakkan lagi industri pelancongan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pihaknya sedang berusaha untuk memperkukuhkan rangkaian penerbangan antarabangsa terus ke Pulau Pinang dengan mengadakan perbincangan berterusan.
Katanya ketika ini sebanyak 13 bandar antarabangsa mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang.
"Awal Januari lalu, saya telah memimpin wakil industri pelancongan Pulau Pinang untuk melawat Xiamen, China dan bertemu dengan pihak Xiamen Air untuk menjalankan aktiviti pemasaran bersama.
"Pertemuan dengan pihak atasan Xiamen Air untuk membincangkan mengenai penambahbaikan laluan baharu dari Xiamen ke Pulau Pinang telah bermula sejak September lepas dan kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam penambahbaikan laluan penerbangan yang penting menghubungkan Malaysia dengan China," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata beliau turut mengadakan lawatan di ibu pejabat IndiGo di New Delhi, India untuk mengkaji peluang pembukaan laluan penerbangan terus dari India ke Pulau Pinang dan memberikan pilihan perjalanan yang lebih mudah kepada pelancong dari kedua-dua negara.
Katanya beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), G.Ashwin, turut mengadakan pertemuan dengan wakil industri pelancongan di Mumbai, New Delhi, Chennai, dan Kochi untuk memperkenalkan sumber pelancongan dan kemudahan di Pulau Pinang.
"Pulau Pinang juga sedang menjalankan rundingan dengan syarikat penerbangan dari Shanghai untuk membincangkan potensi pembukaan laluan terus dari sana ke Pulau Pinang dengan tujuan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pasaran China.
"Saya sendiri melawat ibu pejabat China Eastern Airlines dan Juneyao Airlines di Shanghai semasa menghadiri pameran pelancongan ITB Shanghai pada September lepas," katanya.
Menurutnya Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism Ooi Chok Yan bersama pasukan telah ke Dubai berjumpa dengan pihak atasan Flydubai untuk berkoordinasi berkaitan laluan penerbangan baharu dari sana ke Pulau Pinang yang dijadualkan mula beroperasi Februari dalam memperluaskan lagi hubungan penerbangan negeri ini di rantau Timur Tengah.
Wong berkata penambahan laluan penerbangan antarabangsa itu memainkan peranan yang penting dalam perkembangan industri pelancongan Pulau Pinang.
Katanya ini tidak hanya memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong antarabangsa, tetapi juga memberikan keselesaan perjalanan kepada penduduk di Wilayah Utara Malaysia.
"Ia bukan sahaja membantu Pulau Pinang mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan Asia, tetapi juga memberikan sumbangan positif kepada kemakmuran ekonomi Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata setakat hujung tahun lepas, bandar antarabangsa yang mempunyai laluan terus ke Pulau Pinang ialah Singapura, Bangkok, Phuket, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City dan Doha.
-- BERNAMA