P. Pinang benarkan warga asing lengkap vaksin solat Jumaat dan fardu di masjid
Bernama
Oktober 5, 2021 18:34 MYT
Oktober 5, 2021 18:34 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang membenarkan warganegara asing yang telah menerima vaksin COVID-19 lengkap untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau di seluruh negeri itu mulai esok.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Mohd Zakuan Zakaria berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengambil kira situasi semasa dan jumlah bilangan jemaah masih kekal mengikut keluasan ruang solat masjid dan surau.
"Setelah mengambil kira situasi semasa berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka dibuat beberapa ketetapan, antaranya warga asing dibenarkan untuk menunaikan solat dengan syarat telah menerima vaksin lengkap," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya selain itu kuliah Subuh dibenarkan dengan kadar 45 minit sahaja setelah selesai solat dan kekal di tempat masing-masing atau di tempat yang ditandakan.
Beliau berkata kuliah, kelas pengajian dan bacaan Yassin juga dibenarkan pada setiap hari selepas solat fardu Maghrib hingga masuk waktu Isyak, namun hendaklah kekal berada di tempat solat masing-masing atau tempat ditandakan.
Mohd Zakuan berkata, kadar bilangan jemaah bagi solat jenazah yang dibenarkan adalah dibenarkan mengikut kapasiti sepertimana solat Jumaat dan fardu.
Katanya, imam dan khatib jemputan masih tidak dibenarkan untuk memimpin solat serta menyampaikan khutbah Jumaat.
"Program ceramah dan majlis rasmi di masjid atau surau serta program gotong-royong masih tidak dibenarkan," katanya
Beliau berkata semua mesyuarat bersemuka di masjid serta surau hendaklah ditangguhkan dan hanya mesyuarat secara maya sahaja dibenarkan.
-- BERNAMA