P. Pinang benarkan semua rumah ibadat bukan Islam dibuka semula
Bernama
Jun 16, 2020 23:12 MYT
Jun 16, 2020 23:12 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam bermula hari ini, dengan syarat jawatankuasa rumah ibadat berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Agama Islam negeri Chong Eng berkata semua rumah ibadat bukan Islam termasuk yang telah membuat permohonan melalui kerajaan negeri sebelum ini, boleh dibuka semula ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Dalam perbincangan saya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pagi ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membuka semula semua rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang dengan SOP serta beberapa syarat ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa kesemua 5,230 rumah ibadat bukan Islam di negara ini dibenarkan dibuka semula dan beroperasi seperti biasa, namun bergantung kepada keputusan kerajaan negeri masing-masing.
Dalam pada itu, Chong berkata semua rumah ibadat bukan Islam boleh beroperasi dengan had kapasiti satu pertiga daripada bilangan penganut bagi dewan atau ruang beribadat dengan amalan penjarakan sosial dan penanda jarak satu meter wajib dilekatkan di tempat ibadat.
Katanya, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, penganut dan ketua agama yang mempunyai gejala seperti selsema, batuk, sesak nafas atau demam dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Menurut Chong, golongan berisiko tinggi seperti penghidap penyakit kencing manis dan kanser tidak digalakkan namun bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan sihat, dibenarkan ke rumah ibadat bukan Islam berkenaan.
"Jawatankuasa setiap rumah ibadat perlu menyediakan buku rekod kehadiran di kaunter saringan atau berdaftar dengan e-pendaftaran, malah rumah ibadat digalakkan untuk menggunakan PGCARE APP. Perarakan keagamaan, kenduri dan perhimpunan yang ramai dan sukar dikawal adalah tidak dibenarkan sama sekali di jalankan di rumah ibadat," katanya.
Ahli jawatankuasa rumah ibadat, ketua agama dan penganut dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu dan disiplin kendiri malah setiap rumah ibadat mesti mempertimbangkan sama ada mereka boleh mematuhi SOP sebelum ia dibuka semula, katanya.
"Oleh kerana kita sekarang dalam fasa PKPP, setiap rumah ibadat bertanggungjawab menilai dan meminimumkan risiko agar para penganut dapat beribadah dengan selamat. Sekiranya mempunyai pertanyaan lebih lanjut mengenai SOP untuk rumah ibadat di Pulau Pinang, boleh menghubungi di talian 016-2136414, 04-6505143 atau 010-3759964," katanya.
-- BERNAMA
#keselamatan
#Majlis Keselamatan Negara
#operasi
#penjarakan sosial
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP
#pulau pinang
#rumah ibadat
#SOP