P. Pinang benarkan aktiviti keagamaan termasuk tarawih di masjid sepanjang Ramadan

Bernama
April 1, 2021 09:33 MYT
Pelaksanaan semua aktiviti itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan garis panduan aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan itu akan berkuat kuasa mulai 12 April ini. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di negeri itu sepanjang Ramadan termasuk solat tarawih serta moreh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarahnya Mohd Zakuan Zakaria berkata pelaksanaan semua aktiviti itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan garis panduan aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan itu akan berkuat kuasa mulai 12 April ini.
"Bagi solat tarawih dibenarkan dilakukan sebanyak 20 rakaat namun bagi memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama pihak masjid dan surau boleh melaksanakannya sebanyak lapan rakaat dengan kadar bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti keluasan (masjid dan surau).
"Jemaah hendaklah berusia tujuh hingga 70 tahun sahaja serta berada dalam keadaan sihat, bagaimanapun tazkirah semasa solat sunat tarawih adalah tidak dibenarkan dan imam serta bilal perlu meringkaskan bacaan zikir, selawat serta doa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kariah masjid dan surau juga boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh serta sahur di kawasan masing-masing, namun hidangan makan bertalam tidak dibenarkan.
Turut dibenarkan ialah majlis ilmu dengan penyertaan jemaah ditetapkan sendiri oleh pihak masjid dan surau, namun bermalam di premis berkenaan tidak dibenarkan, katanya.
Katanya JHEAIPP juga membenarkan solat sunat Aidilfitri serta aktiviti menziarahi kubur sepanjang Ramadan dan Syawal.
-- BERNAMA
#Ramadan #Aidilfitri #Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang #JHEAIPP #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Mohd Zakuan Zakaria #perintah kawalan pergerakan #COVID-19