P.Pinang belum cadang wajibkan dos penggalak untuk solat jemaah

Bernama
Februari 25, 2022 21:15 MYT
Pulau Pinang sebelum ini memaklumkan jemaah yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk mendirikan solat fardu dan Jumaat mengikut kapasiti ruang sesebuah masjid atau surau di negeri itu. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang belum bercadang untuk mewajibkan hanya mereka yang sudah lengkap divaksinasi dan menerima suntikan dos penggalak dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid atau surau.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, ketika ini, kerajaan negeri mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti dikeluarkan sebelum ini melibatkan aktiviti masjid dan surau, selain SOP ditetapkan di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Pulau Pinang masih mengekalkan SOP melibatkan aktiviti masjid dan surau termasuk berkaitan solat jemaah yang pernah kita keluarkan sebelum ini. Namun, ia tertakluk kepada kemas kini daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai Selangor yang membenarkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak dibenarkan hadir menunaikan solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu.
Ia berikutan ketetapan terkini diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.
Pulau Pinang sebelum ini memaklumkan jemaah yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk mendirikan solat fardu dan Jumaat mengikut kapasiti ruang sesebuah masjid atau surau di negeri itu.
Pada 26 Nov tahun lepas, Pulau Pinang membenarkan semua aktiviti pengimarahan yang dibenarkan merangkumi majlis rasmi dan aktiviti sosial seperti aktiviti ceramah agama, kelas pengajian, mesyuarat jawatankuasa, majlis akad nikah, jamuan makan dan program gotong-royong.
Selain itu, jemaah juga perlu memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruang masjid.
-- BERNAMA
#solat jemaah di masjid atau surau #Pelan Pemulihan Negara #Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman #Majlis Keselamatan Negara
;