P.Pinang bantu salurkan semua sumber bagi pelaksanaan projek pembesaran LTAPP
Bernama
Februari 25, 2023 16:37 MYT
Februari 25, 2023 16:37 MYT
NIBONG TEBAL: Kerajaan Pulau Pinang akan memberikan kerjasama penuh dengan menyalurkan semua sumber yang diperlukan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dalam pelaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau juga telah meminta semua agensi kerajaan negeri terutama Pejabat Daerah dan Tanah, agar memberi bantuan terutama untuk kerja-kerja fasiliti dalam memudahkan projek tersebut.
"Sebenarnya MAHB sudah ada persiapan awal sejak tahun 2018 lagi (projek pembesaran LTAPP) malah kebenaran merancang mereka (MAHB), juga telah diluluskan dan dengan pengumuman (Belanjawan 2023) ini, pasukan kerajaan negeri memberi input dan kerjasama kepada MAHB dalam melaksanakan projek tersebut.
"Saya juga minta agensi-agensi kerajaan negeri terlibat dapat membantu untuk kerja-kerja fasiliti projek itu, antaranya untuk urusan pengambilan balik tanah, pemindahan kuarter kerajaan, menara kawalan trafik, dan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina berhampiran situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Jambatan Tanjung Berembang di Laluan P169 sepanjang 2,130 meter bernilai RM28 juta, yang mula dibina Januari 2016 dan siap sepenuhnya Mac tahun lepas.
Semasa pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembesaran LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor, tetapi bercadang untuk menghentikan pembinaan lapangan terbang baharu Kulim, Kedah.
Chow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata kerajaan negeri juga, akan berusaha membida beberapa lagi projek infrastruktur untuk Pulau Pinang yang tidak disenarikan dalam Belanjawan 2023, pada pelan boleh pinda Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seterusnya, yang dijadualkan sehingga akhir tahun ini.
Beliau berkata jabatan-jabatan kerajaan negeri diminta untuk membuat semakan susulan dengan menteri mereka, agar projek tersebut dapat disenaraikan dalam belanjawan pada tahun hadapan.
"Bidaan untuk projek di bawah Rolling Plan Keempat (RMK-12) pun sudah bermula, untuk dibentangkan mungkin pada akhir tahun ini (2023), bagi membuat belanjawan pada tahun depan (2024).
"Justeru, proses memasukkan (projek cadangan) sedang dibuka, kita akan membuat susulan lanjut dengan menteri-menteri, terutama menteri kewangan dan saya berharap lebih banyak projek yang berkepentingan untuk rakyat dapat diluluskan," katanya.
-- BERNAMA