P.Pinang arah PBAPP buat pascanilai gangguan bekalan air

Bernama
Julai 15, 2022 10:18 MYT
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata terdahulu beliau telah meminta perbadanan itu menjalankan satu pascanilai segera berhubung gangguan bekalan air tersebut. - Gambar fail/Astro AWANI
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diarah membentangkan laporan pascanilai berhubung gangguan bekalan air selama enam hari di negeri itu minggu lepas, dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata terdahulu beliau telah meminta perbadanan itu menjalankan satu pascanilai segera berhubung gangguan bekalan air tersebut.
"Pihak PBAPP akan bentangkan laporan itu dalam mesyuarat Exco akan datang,'' katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada 6 Julai lepas, operasi Loji Rawatan Air Sungai Dua terpaksa dihentikan selama empat jam kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi berikutan bencana banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah.
Tindakan tersebut telah menyebabkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun PBAPP di negeri itu terputus bekalan air dan hanya pulih sepenuhnya pada Isnin lepas.
Dalam pada itu, Chow berkata masalah bekalan air berikutan penutupan LRA Sungai Dua itu telah dimaklumkan menerusi satu kenyataan di laman Facebook PBAPP.
Namun, katanya mungkin terdapat kelemahan dari segi komunikasi yang menyebabkan maklumat mengenai gangguan bekalan air itu tidak dapat disampaikan kepada pengguna dengan lebih awal.
-- BERNAMA
#PBAPP #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang #laporan pascanilai #gangguan bekalan air #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow