P. Pinang anjur pameran didik masyarakat pelajari institusi gabenor
Bernama
Ogos 16, 2022 18:44 MYT
Ogos 16, 2022 18:44 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menganjurkan pameran 'Dari Gabenor ke TYT' yang mengetengahkan peringkat pentadbiran dan pembangunan di negeri itu sejak 1705 bagi mendidik masyarakat mempelajari sejarah institusi gabenor negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, melalui pameran tersebut, risalah maklumat mengenai sejarah institusi gabenor Pulau Pinang dapat dikongsi bersama semua lapisan masyarakat tempatan dan antarabangsa.
"Pameran ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat yang cukup besar kepada seluruh warga Pulau Pinang tetapi juga warga negeri lain untuk mengenali lebih dekat mengenai institusi ini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran itu oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.
Chow berkata, pameran itu juga dapat menggalakkan penglibatan pelbagai agensi, institusi kerajaan serta swasta dalam membina jaringan hubungan yang kondusif sekali gus memberikan pendedahan sejarah institusi serta fungsi gabenor atau TYT (Tuan Yang Terutama) di Pulau Pinang kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
"Saya berharap pameran ini akan menjadi platform dalam mencapai matlamat untuk mendidik masyarakat supaya lebih menghargai dan mempelajari sejarah Pulau Pinang dengan mengambil tahu akan jasa, peranan dan susur galur bermulanya pelantikan gabenor dan TYT negeri ini," katanya.
Beliau berkata, pameran yang bermula semalam akan turut menjelajah ke empat daerah di negeri itu secara berperingkat hingga Mei depan membabitkan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang bagi daerah Seberang Perai Tengah, Perpustakaan Awam Cawangan Bertam (Seberang Perai Utara), Perpustakaan Awam Cawangan Jawi (Seberang Perai Selatan) dan berakhir di Perpustakaan Awam Cawangan Balik Pulau (Barat Daya). - BERNAMA