P-Hailing: Aspek pengurusan sistem, kefahaman atasi masalah pekerja tiada simpanan

Madiha Abdullah
Februari 18, 2023 05:15 MYT
Menurut laporan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 97.71 peratus pekerja gig dalam perkhidmatan p-hailing di negara ini merupakan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Banyak perkara yang perlu diteliti apabila memperkatakan perihal pekerja p-hailing yang majoritinya tidak mempunyai simpanan kewangan.
Presiden Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya, Lim San Shien berkata, masih terdapat banyak kepincangan dalam aspek pengurusan pekerjaan sektor ekonomi gig dan p-hailing, yang menjadikan pekerja khususnya belia, gagal mempunyai simpanan.
"Pertama kena ada usaha mengiktiraf pekerja gig dalam sistem undang-undang. Seeloknya diwujudkan polisi atau dasar untuk mengurus tadbir pekerja gig seperti dalam Akta Kerja 1955.
"Paling penting, definisikan apa itu pekerja dalam ekonomi dan apakah itu ekonomi gig," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, Lim melihat aspek kebajikan pekerja juga harus diberikan perhatian sepertimana dalam bidang pekerjaan lain.
"Syarikat gig kena ada usaha dan inisiatif untuk beri jamin keselamatan sosial kepada pekerja seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Untuk membantu pekerja maksimumkan simpanan, syarikat kena ada polisi yang baik kerana kalau dilihat, pekerja gig tidak ada pendapatan yang konsisten, sebaliknya bergantung permintaan.
"Saya cadangkan perlu ada fair distribution, contohnya (dari segi) pembahagian kawasan untuk rider penghantar makanan.
"Kalau ada sistem jelas, pekerja rasa selamat dan terjamin dalam industri ini," katanya.
Tambah Lim, pekerja sektor ini juga tidak menikmati faedah gaji minimum.
"Malah, menurut statistik, masih ada yang hanya dapat RM1,000 sebulan. Ini tidak cukup untuk tampung kehidupan, jadi syarikat kena top up.
"Mungkin juga boleh diletakkan syarat, pekerja harus capai masa atau waktu kerja tertentu," ujarnya.
Lim berpendapat, ekosistem ekonomi gig masih belum stabil dan memerlukan usaha kolaboratif dari banyak pihak untuk memantapkannya.
"Kalau di Amerika Syarikat, ada akta yang digubal untuk jamin kebajikan pekerja. Kita di sini bukan setakat perlukan akta, tetapi kena ada agensi pemantau.
"Selain itu, belia harus diberi pendedahan mengenai sektor ini melalui sekolah dan institusi pendidikan.
"Ekonomi gig menyumbang dalam ekonomi negara, perbanyakkan kursus, latihan dan bengkel bagi memantapkan kemahiran pekerja khususnya anak muda lepasan sekolah.
"Ini bukan sahaja akan menggalakkan mereka serius melibatkan diri tetapi juga berminat untuk kembangkan lagi bakat mereka," katanya lagi.
Menurut laporan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 97.71 peratus pekerja gig dalam perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan (p-hailing) di negara ini merupakan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun.
Daripada jumlah itu, 63.39 peratus tidak mempunyai sebarang simpanan.
#ekonomi gig #Belia #simpanan #p-hailing
;