'Oyen' tak mahu makan, ‘terkejut’ jadi mangsa banjir
Ridauddin Daud
Januari 9, 2024 18:47 MYT
Januari 9, 2024 18:47 MYT
BILA cerita perihal banjir, bukan hanya manusia, haiwan termasuk kucing peliharaan pun turut sama terkesan.
Demikianlah kisahnya di Kampung Kangkar Tebrau di Johor Bahru apabila sebahagian penduduk terpaksa keluar meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri selepas kawasan itu mula dinaiki air sejak awal pagi Selasa.
Dalam keadaan kelam-kabut, Fairus Ya, 45, cuma membawa barangan penting dan keluar bersama suaminya mencari perlindungan ketika hari masih gelap.
Mereka mengambil keputusan meninggalkan dahulu tiga ekor kucing kesayangan, Milo, Jojo dan Baby, kerana memikirkan air tidak akan naik terlalu tinggi sehingga membahayakan haiwan itu.
Namun, hati Fairus dan suaminya tidak tenang apabila melihat paras air semakin tinggi. Lantas, dia meminta suaminya segera berusaha menyelamatkan semua kucing mereka.
Menceritakan kisah itu kepada Astro AWANI, Fairus berkata, suaminya terpaksa meredah air banjir paras dada untuk ke rumah mereka sebelum membawa keluar Milo, Jojo dan Baby.
“Masa itu kucing saya dalam rumah. Kami memang tak keluarkan pagi tadi, selamatkan diri kita dulu sebab nampak macam air tak tinggi sangat. Namun selepas itu, nampak air makin naik... dia (suami segera) pergi selamatkan kucing pula.
“Ketiga-tiga ekor kucing ini, suami saya masukkan dalam sangkar. Kemudian dia pegang sangkar bagi lebih tinggi daripada paras dada supaya mereka tak kena air. Dia kemudian bawa ke tempat selamat," katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.
Menceritakan lanjut, Fairus berkata, ini adalah kali pertama semua kucing mereka keluar dari rumah.
"Ini memang pertama kali bawa keluar, tak pernah keluar. Mereka tidak pernah pijak rumput apatah lagi berdepan banjir, situasi ini membuatkan semua kucing saya panik.
"Paling panik adalah Baby yang berusia sembilan bulan. Ia terus terjun ke dalam air sebaik nampak suami masuk ke dalam rumah.
“Disebabkan panik, sekarang mereka tak nak makan, sebab terkejut dengan semua yang berlaku.
“Dari pagi sampai sekarang (tengah hari) tak nak makan. Bagi 'booster' pun tak nak makan, biasa kalau bagi, dia makan tapi kali ini tak nak makan,” ujarnya.
Begitupun, di sebalik kesukaran dihadapi, Fairus lega keluarga dan kucingnya berjaya keluar dari rumah dengan selamat.