Oyen 'kawan baik' Capybara di Zoo Negara sudah rasmi tinggal 'serumah'
Astro Awani
Jun 26, 2023 14:40 MYT
Jun 26, 2023 14:40 MYT
SELEPAS gelagatnya yang gemar 'melepak' di kepungan tikus gergasi Capybara di Zoo Negara tular di media sosial, seekor kucing berbulu jingga yang digelar 'Oyen' secara rasminya menjadi sebahagian daripada kawanan herbivor itu.
Nama Oyen kini dipaparkan di papan tanda yang terletak di hadapan kepungan Capybara, sekali gus menjadi tarikan bagi pengunjung.
Zoo Negara memuat naik sebuah video ke TikTok rasmi mereka, menunjukkan papan tanda tertulis 'Capybara & Oyen' itu yang sudah siap dipasang.
Di ruangan komen, orang ramai menyambut baik langkah berkenaan dan menyifatkan ia satu perkembangan positif bagi menunjukkan bagaimana dua spesies haiwan boleh berkawan baik.
Malah ramai juga yang tidak sabar mahu mengunjungi Zoo Negara untuk melihat sendiri persahabatan Oyen dan Capybara.
Difahamkan, kucing dan tikus gergasi itu telah menjadi rakan sekandang sejak dua atau tiga tahun lalu.
'Persahabatan' luar biasa itu membawa tuah dan membantu kebangkitan semula Zoo Negara, yang mengalami masalah kekurangan pendapatan susulan pandemik COVID-19.
Menurut kakitangan zoo, mereka tidak pasti bila Oyen masuk ke kepungan capybara, namun mengakui mula melihat kelibat si comel itu ketika zoo ditutup semasa perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19.
Pihak zoo kebiasaannya tidak menggalakkan haiwan berinteraksi dengan haiwan liar kerana ia boleh membahayakan mereka.
Setakat ini, kedua-dua spesies sihat serta tidak menunjukkan sebarang tanda dalam tekanan, dan keadaan mereka juga dipantau bagi memastikan mereka sihat.