Osman tegaskan beliau tidak ceroboh perairan Singapura

Bernama
Januari 12, 2019 05:27 MYT
OSMAN: Saya tiada niat melakukan provokasi ke atas negara jiran.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sekali lagi menegaskan beliau tidak menceroboh kawasan perairan Singapura yang didakwa milik republik itu, Rabu lepas, sebaliknya mahu melihat anggota Jabatan Laut menjalankan tugas.
Beliau berkata lawatan untuk melihat anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di atas kapal MV Pedoman, kapal induk jabatan itu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura itu, bukan bertujuan melakukan provokasi malah ia diketahui oleh Wisma Putra.
"Saya tiada niat melakukan provokasi ke atas negara jiran. Kita tiada niat untuk menceroboh. Kita boleh tunjuk pelan," katanya kepada pemberita selepas majlis menyalakan tanglung sempena Tahun Baharu Cina, di Taman Impian Emas, di sini Sabtu malam.
Susulan dakwaan tersebut, Singapura menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadual Isnin dan Selasa ini.
-- BERNAMA
#Johor #Menteri Besar #mv pedoman #Osman Sapian #perairan singapura #Wisma Putra
;