Osman Bakar dilantik Rektor Universiti Islam Antarabangsa

Astro Awani
September 21, 2024 09:30 MYT
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (kiri) menyerahkan watikah pelantikan sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada Osman. - Gambar Kementerian Pendidikan Tinggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini mengumumkan pelantikan pemikir Islam tersohor tanah air, Datuk Prof. Emeritus Osman Bakar sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke-7.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu berkata, lantikan Osman ialah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 23 September ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi yakin pelantikan Osman akan mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Osman yang juga penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), UIAM merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah Islam dari University of Temple, Amerika Syarikat.
Tokoh akademik itu memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga disenaraikan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada 2009.
Kementerian turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.
#Osman Bakar #Rektor UIAM #Universiti Islam Antarabangsa Malaysia #Kementerian Pendidikan Tinggi
;