Orkim Harmony: Lapan warga Indonesia sedang disoal siasat - APMM

Astro Awani
Jun 19, 2015 17:22 MYT
APMM berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam untuk membawa suspek-suspek tersebut ke Malaysia.
Lapan warga Indonesia yang disyaki lanun mendalangi rampasan kapal tangki MT Orkim Harmony sedang disoal siasat pihak berkuasa Vietnam, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pihaknya telah pun berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam untuk membawa suspek-suspek tersebut ke Malaysia.
"Mereka kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa Vietnam," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan MT Orkim Harmony pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, proses untuk membawa suspek-suspek tersebut tidak mudah kerana ia melibatkan prosedur undang-undang, akta imigresen serta proses-proses tertentu.
"Dan kita telah pun meminta pandangan dari Peguam Negara dan kementerian luar negeri. Bukan semudah itu... kalau kita bawa pen ke pensel ke senang, ini kita bawa hidupan yakni manusia, jadi perlu melalui proses-proses tertentu... akta imigresen, dua negara, jadi semua ini sensitif yang perlu kita faham," katanya.
Mengulas lanjut tentang penahanan tersebut, Ahmad Puzi berkata penyiasatan teliti yang bakal dijalankan nanti akan menunjukkan dengan lebih jelas perkara yang sebenar.
Katanya, kesemua 22 anak kapal Orkim Harmony juga akan ditemubual bagi mendapatkan situasi sebenar kejadian rampasan tersebut dari hari pertama hingga lah ke hari ini.
Namun, kata Ahmad Puzi, mereka akan ditemubual mengikut keutamaan dan keadaan kesihatan mereka pada hari tersebut.
"Kalau orang tu tak sihat kita tak bleh buat hari itu juga... nanti dia pengsan kat situ, payah juga kan. Jadi kita akan tengok mana yang sesuai," katanya lagi.
Terdahulu, lapan warga Indonesia ditemui berhampiran Pulau Tho Chu, Vietnam sekitar jam 6:30 pagi tadi.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam twit terbarunya memaklumkan bahawa Identiti kelapan-lapan mereka masih lagi dikenal pasti.
Kata Abdul Aziz, kelapan-lapan mereka ditemui pasukan penyelamat selepas mendakwa bahawa bot nelayan mereka karam.
#ahmad puzi #APMM #Orkim Harmony #suspek
;