Organ, tisu individu meninggal akibat COVID-19 tidak boleh didermakan
Sinar Harian
Februari 23, 2022 06:55 MYT
Februari 23, 2022 06:55 MYT
SHAH ALAM: Organ dan tisu individu yang meninggal dunia akibat COVID-19 tidak boleh didermakan kerana virus tersebut adalah penyakit di bawah kategori penyakit berjangkit.
Pusat Sumber Transplan Nasional menerusi laman rasmi Facebooknya, berkata, virus tersebut berisiko untuk menjangkiti penerima melalui organ dan tisu yang didermakan.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan ketetapan mengenai perkara tersebut pada tahun 2020.
“Dalam Garis Panduan Perolehan dan Pendermaan Organ Selepas Kematian untuk COVID-19 keluaran tahun 2020 menyatakan semua bakal penderma organ perlu dilakukan ujian calitan COVID-19 sebelum prosedur perolehan organ dan tisu dilaksanakan.
“Pendermaan organ dan tisu kardaverik (selepas kematian) hanya boleh dilaksanakan apabila mendapat kebenaran waris secara bertulis menurut Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130),” menurut hantaran di Facebook Derma Organ pada Rabu.
Ketika ini, seramai 493,481 individu direkodkan telah mendaftar untuk mendermakan organ mereka kepada Pusat Sumber Transplan Nasional.
Pusat Sumber Transplan Nasional sebelum ini turut memaklumkan bahawa seramai 4,924 pesakit masih menunggu untuk menerima pendermaan organ dengan buah pinggang adalah tertinggi iaitu 4,924 orang diikuti hati (10) dan jantung (lapan).
Artikel asal di Sinar Harian