Ordinan terbatal tidak boleh diguna pakai - Penganalisis politik

Astro Awani
Julai 26, 2021 18:01 MYT
Sivamurugan berkata, pihak Peguam Negara juga perlu mewartakan pembatalan itu menerusi satu kenyataan umum. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua Ordinan Darurat yang terbatal tidak boleh diguna pakai selepas tempoh darurat, kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Sivamurugan Pandian.
Menurut beliau, selepas tempoh pembatalan, peraturan Ordinan itu tidak lagi relevan dan signifikan.
"Lazimnya apabila sudah terbatal, maka ia tidak boleh diguna pakai selepas tempoh darurat kerana ia sudah tidak releven dan juga tidak relevan.
"Apa yang menjadi polemik di sini adalah kenapa ia tidak dinyatakan lima hari yang lalu ketika diputuskan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Isnin.
LAMAN MIKRO SISITV PARLIMEN ADA DI SINI
[LAPOR LANGSUNG] Sesi petang Sidang Mesyuarat Khas Parlimen sudah bermula
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, pihak Peguam Negara juga perlu mewartakan pembatalan itu menerusi satu kenyataan umum.
Katanya, meskipun pengistiharan darurat diamanahkan di bawah Kabinet, namun ia perlu diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada Isnin, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua Ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
Pengumuman mengenai pembatalan Ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.
#Dewan Rakyat #pembangkang #Perdana Menteri #undang-undang #Yang di-Pertuan Agong #Peguam Negara #Takiyuddin Hassan #kabinet #Ordinan Darurat #Parlimen
;