Ordinan kekang berita tidak benar COVID-19 tidak seimbang - Article 19
Harits Asyraf Hasnan
Mac 15, 2021 12:34 MYT
Mac 15, 2021 12:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 untuk mengekang berita tidak benar berkait COVID-19 dilihat tidak seimbang.
Itu pandangan sebuah badan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara global, Article 19 yang turut mempersoal hukuman denda sehingga RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun yang termaktub dalam ordinan tersebut.
"Kemungkinan untuk menjatuhkan hukuman untuk kesalahan 'berulang' turut menimbulkan kebimbangan di dalam era digital, ketika sesuatu kandungan itu mudah menjadi tular dan sukar untuk dikawal," memetik kenyataan yang dikeluarkan mereka.
Mereka pada masa sama turut mempersoal Perkara 20(2) ordinan itu yang melarang individu yang dikeluarkan notis untuk mendedahkan kewujudan dan kandungan notis tersebut.
"Sekatan ini telah menghalang pihak ketiga yang sepatutnya bebas memantau pelaksanaan ordinan tersebut oleh Kerajaan.
"Ini juga menimbulkan pertanyaan tentang akses terhadap bukti dan hak untuk perbicaraan yang adil sekiranya data yang digunakan sebagai sebahagian proses pendakwaan tetapi melarang tertuduh mendapatkan hak guaman sewajarnya," kata badan itu.
Ordinan Darurat | Khusus untuk COVID-19 dan proklamasi darurat
Perkara 4(1) Ordinan tersebut mengatakan sebarang proses penghasilan berita tidak benar, sehingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000, atau denda tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Proses penghasilan itu termasuk – mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan, atau menyebarkan berita tidak benar, atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.
Mahkamah juga boleh, sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan orang yang disabit atas kesalahan di bawah subseksyen itu untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas oleh pelakuan kesalahan itu mengikut cara yang ditentukan oleh Mahkamah.
Malah, mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan di bawah subseksyen (2) melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000, atau penjara tidak melebih satu tahun, atau kedua-dua.
Manakala menurut Perkara 5 Ordinan yang sama menyebut, individu yang dikesan menyalurkan bantuan kewangan, sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi membantu proses penghasilan berita tidak benar, boleh dikenakan pertuduhan.
Hukuman yang dihadapi bagi pesalah di bawah seksyen ini jauh lebih berat, iaitu denda tidak melebihi RM500,000, atau hukuman penjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali.
Berita Palsu | Keputusan warta ordinan tepat
#Ordinan Darurat
#berita tidak benar
#Semak Fakta
#berita palsu
#SKMM
#KKMM
#COVID-19
#Article 19
#penguatkuasaan ordinan darurat