Ordinan Darurat untuk cepatkan penguatkuasaan, siasatan, pendakwaan berita palsu - Saifuddin
Firdaus Azil
Mac 12, 2021 16:29 MYT
Mac 12, 2021 16:29 MYT
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 adalah bagi mempercepatkan proses penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan bagi mereka yang terbabit menghasilkan berita tidak benar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Dalam sidang media mengenai ordinan berkenaan, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, secara asasnya pendakwaan mengenai berita tidak benar membabitkan dua perkara iaitu COVID-19 dan proklamasi darurat.
Ujarnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai kuasa untuk membuat penahanan di bawah ordinan berkenaan.
“Penggubalan ordinan ini imperatif bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih daripada sumber yang tepat, bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Diharap (dengan pelaksanaan ordinan ini) ia dapat mengekang penularan berita palsu. Kerajaan ingin menyeru orang orang ramai untuk tidak membuat, berkongsi, atau menularkan berita tidak benar mengenai COVID-19 dan proklamasi darurat,” katanya lagi.
Selama ini kami menafikan, tetapi berita tidak benar masih berleluasa..
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan) di sini, hari ini.
Sementara itu, Takiyuddin menegaskan, hukuman denda dan penjara yang ditetapkan tidak bermaksud jumlah maksimum perlu dikenakan terhadap pesalah di bawah ordinan tersebut.
Beliau berkata, ia masih bergantung kepada budi bicara mahkamah, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan menghasilkan berita tidak benar, serta denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun bagi kesalahan menyalurkan kewangan terhadap proses penghasilan berita tidak benar.
“Mahkamah mungkin boleh melepaskan dengan amaran sahaja jika individu tersebut pesalah kali pertama,” katanya lagi.
"Ini merupakan nature of the law. Sebab itu kita letakkan siling pada kadar tertentu. Apa jua kadar denda dan hukuman penjara boleh ditentukan hakim selagi ia tidak melepasi siling yang ditetapkan," katanya lagi.
Penghapusan terbitan perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, apabila seseorang pegawai diberi kuasa dengan kebenaran mahkamah, memerintahkan mana-mana pihak memadamkan sebarang kandungan mengandungi elemen berita tidak benar, ia wajib dilakukan dalam tempoh 24 jam.
Katanya, sekiranya pihak berkenaan ingin mencabar keputusan tersebut di mahkamah, ia dibenarkan namun tidak bermaksud mereka boleh mendapat perintah 'stay of execution', atau lanjutan masa untuk mengekalkan kandungan tersebut.
#berita tidak benar
#berita palsu
#Ordinan Darurat
#pegua negara
#Warta Kerajaan
#Kebebasan maklumat
#polis
#Menteri Komunikasi
#Saifuddin Abdullah
#COVID-19
#darurat
#PDRM
#SKMM
#Takiyuddin Hassan