Ordinan Darurat libatkan pekerja akan dimasukkan dalam pindaan Akta 446 - Saravanan
Umavathi Ramayah
Oktober 25, 2021 17:55 MYT
Oktober 25, 2021 17:55 MYT
KUALA LUMPUR: Standard minimum penginapan pekerja akan terus dikuatkuasakan di bawah peruntukan sedia ada Akta 446 walaupun Ordinan Darurat Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 diungkaikan.
Justeru itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kerajaan memutuskan supaya supaya semua peruntukan yang dikuatkuasakan melalui Ordinan Darurat Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 dimasukkan sebagai cadangan dalam meminda Akta 446.
Sementara itu, katanya, bagi Sabah dan Sarawak, peruntukan-peruntukan dalam Ordinan Darurat tersebut akan dimasukkan ke dalam cadangan pindaan kepada Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
"Ia adalah sebagai langkah jangka panjang bagi memperkasa perundangan berhubung dengan penginapan pekerja," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai kesan kepada standard penginapan pekerja sekiranya Ordinan Darurat Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 ini diungkaikan.
Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan, kementeriannya sedang menyediakan pindaan kepada semua undang-undang tersebut.
Menurutnya, peruntukan sedia ada dalam Akta 446 menetapkan standard minimum bagi penginapan, penginapan berpusat dan kemudahan pekerja yang wajib dipatuhi oleh semua majikan dan penyedia penginapan berpusat.
"Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) hanya akan terpakai bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan sahaja berbanding di bawah Ordinan Darurat di mana ia juga terpakai bagi Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Katanya, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) tidak akan mempunyai kuasa lagi untuk mengarahkan penggantian, pengubahan dan pembaikan penginapan dan kemudahan pekerja sekiranya, penginapan yang disediakan oleh majikan atau penyedia penginapan berpusat tidak mematuhi standard minimum yang ditetapkan di bawah akta ini.
"Malah Ketua Pengarah JTKSM tidak mempunyai kuasa lagi untuk mengarahkan majikan atau penyedia penginapan berpusat untuk menyediakan penginapan sementara dan pelantikan 13 agensi yang telah diberikan kuasa mengikut Ordinan Darurat ini akan terbatal kecuali pegawai yang diletakhakkan oleh Akta 446," ujarnya.