Ordinan Darurat kurangkan trend sebar berita palsu - Saifuddin
Bernama
Julai 22, 2021 20:28 MYT
Julai 22, 2021 20:28 MYT
PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 sejak Mac lepas berjaya mengurangkan penularan berita palsu berkaitan pandemik COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Berkongsi maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), menurutnya purata kes penularan berita palsu menurun kepada tujuh kes sebulan sejak ordinan tersebut dikuatkuasakan berbanding 24 kes sebelum ini.
Beliau berkata Ordinan Darurat itu dikuatkuasakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos ini adalah bagi mencegah dan mengenakan tindakan terhadap penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 yang berpotensi menggugat usaha kerajaan memerangi pandemik itu.
"Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 ini membawa kesan signifikan kepada negara selain berjaya mengurangkan penyebaran berita palsu di platform media sosial," katanya pada sidang media secara maya mengenai berita palsu hari ini.
Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 dikuatkuasakan khusus bagi menangani berita tidak benar berkaitan COVID-19 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Ditanya sama ada kerajaan akan meningkatkan jumlah denda dan hukuman, Saifuddin berpandangan jumlah berkenaan adalah memadai sebagai pengajaran kepada individu yang disabitkan kesalahan agar tidak mengulangi perbuatan sama di masa akan datang.
"Kami (kerajaan) cuba didik rakyat menerusi pelbagai kempen yang dijalankan namun pada masa sama tindakan undang-undang tetap akan dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah. Kami tidak berniat untuk hukum orang dengan hukuman keterlaluan," katanya.
Beliau berkata sebanyak 465 penafian berita palsu telah dikeluarkan oleh Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), sejak 24 Mac 2020 sehingga 17 Julai lepas (2021).
Bagi membendung penularan berita palsu, beliau berkata KKMM bekerjasama dengan PDRM yang sehingga kini sebanyak 282 kes telah dikenakan tindakan, 163 kes dalam siasatan, 119 kes selesai disiasat dan 29 kes telah dituduh di mahkamah.
"Tindakan undang-undang sahaja tidak cukup sebaliknya kematangan pemikiran masyarakat turut memainkan peranan dalam membuat penilaian terhadap berita atau maklumat yang diterima," katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Dev Kumar berkata antara cabaran utama PDRM dalam membanteras penyebaran berita palsu adalah melibatkan kandungan berita palsu melalui akaun media sosial palsu.
"Pemilik akaun palsu ini amat pantas bertindak. Mereka akan memadam kandungan berita tersebut sebelum dikesan PDRM," katanya.
-- BERNAMA
#Ordinan Darurat
#berita palsu
#PDRM
#polis
#Saifuddin Abdullah
#pandemik
#COVID-19
#Menteri Komunikasi dan Multimedia