Ordinan darurat bersifat melindungi, tidak sekat kebebasan bersuara

Bernama
Mac 19, 2021 04:37 MYT
Zulkarnain berkata ordinan itu memiliki unsur perundangan dari segi peranan mahkamah yang berfungsi sebagai semak dan imbang.
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 bukanlah tindakan kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya bertujuan, antara lain, memberi perlindungan kepada individu atau organisasi daripada menjadi mangsa penipuan dan fitnah berita palsu berkaitan COVID-19 serta Proklamasi Darurat.
Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin berkata ordinan itu memiliki unsur perundangan dari segi peranan mahkamah yang berfungsi sebagai semak dan imbang.
"Dalam satu aspek, seseorang itu boleh memohon kepada mahkamah untuk melindungi atau membuang kandungan (tidak benar), kita harus lihat juga aspek individu dan perniagaan kerana individu atau organisasi mungkin difitnah, contohnya pasar raya difitnah (bahawa) pekerja-pekerjanya dijangkiti COVID-19.
"Jadi apa perlindungan kepada organisasi perniagaan tersebut, mereka boleh dapat perintah mahkamah supaya kandungan itu dihapuskan dan bagi mereka yang tidak puas hati (dengan) perintah (yang) dikeluarkan oleh mahkamah, mereka juga ada peluang untuk dapatkan perintah mahkamah untuk ketepikan perintah tersebut.
"Maka ada proses semak dan imbang di situ kerana kita tidak menafikan hak untuk mendapat perlindungan atau mendapatkan remedi daripada mahkamah," katanya ketika menjadi tetamu Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk 'Proklamasi Darurat dan Berita Tidak Benar COVID-19' semalam.
Ordinan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan berterusan pula, denda maksimum RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Ordinan itu turut memberi definisi 'berita tidak benar' termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan COVID-19 atau Proklamasi Darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio, atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.
-- BERNAMA
#Ordinan Darurat #kebebasan #bersuara #COVID-19 #Proklamasi Darurat #MCMC #Zulkarnain Mohd Yasin
;