Ordinan baharu perumahan dirangka semula selesai isu setinggan - Jaujan

Fifi Harteeny Marzuki
Julai 3, 2018 14:07 MYT
Langkah itu adalah perlu berikutan masalah setinggan di negeri ini telah lama berlarutan namun masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Kerajaan Negeri Sabah bakal merangka semula beberapa ordinan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan sebagai langkah penyelesaian masalah setinggan di negeri ini.
Menterinya Datuk Jaujan Sambakong berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang berkaitan bagi membincangkan perkara itu.
Jelas beliau, langkah itu adalah perlu berikutan masalah setinggan di negeri ini telah lama berlarutan namun masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
“Kita telah merangka beberapa dasar untuk menyelesaikan masalah setinggan tetapi kita belum dapat mengumumkannya sekarang kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu kita perincikan.
“Antara langkah lain adalah kita tambah baik beberapa ordinan di kementerian ini dan kajian juga akan dilakukan bagi melihat kelemahan serta langkah terbaik yang dapat kita laksanakan untuk mengatasi masalah ini,” katanya pada sidang media, di Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Menurut Jaujan, antara punca berlakunya masalah setinggan ini adalah penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar bagi mendapatkan pekerjaan dan perkara ini perlu diberi perhatian untuk diselesaikan.
Katanya, ketika ini sebanyak 14,177 buah rumah mampu milik sedang dibina di negeri ini namun ia belum mampu menyelesaikan masalah setinggan di Sabah.
“Kalau mengikut data yang ada dalam rekod senarai daripada agensi berkenaan, Jabatan Perumahan Negara telah membina 5,525 unit rumah, juga LPPB 423, PR1MA 4532 dan juga SPNB 2401, itupun belum cukup menampung keperluan rumah di sabah ini,” katanya.
#beberapa #dasar #jaujan sambakong #Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan #perincikan #Sabah #setinggan
;