Orangutan bunuh manusia: Kenyataan Zuraida undang kecaman netizen
Sinar Harian
Januari 20, 2022 13:54 MYT
Januari 20, 2022 13:54 MYT
SHAH ALAM: Kenyataan 'lebih banyak orangutan bunuh manusia berbanding haiwan itu dibunuh di negara ini' oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin mengundang kecaman netizen.
Malah kenyataan Ahli Parlimen Ampang tersebut yang turut mengatakan bahawa singa wujud di negara ini juga dikritik netizen sebagai tidak tepat.
"Di Malaysia, jika kita jumpa orangutan, orangutan itu akan bunuh kita dulu, bukan kita bunuh orangutan itu," katanya melalui satu rakaman video yang tular di media sosial.
Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempunyai dasarnya sendiri berhubung haiwan seperti orangutan, singa dan harimau.
“Anda fikir mereka (Perhilitan) dengan mudah akan bunuh orangutan? Begitu juga dengan singa dan harimau. Mereka tidak bunuh haiwan-haiwan ini. Ada prosedur tertentu menguruskannya.
“Anda boleh tanya Perhilitan. Mereka boleh beritahu berapa banyak orangutan di negara ini, berapa yang sudah mati, berapa masih hidup dan di mana haiwan-haiwan ini,” tambahnya.
Rakaman video berdurasi satu minit 35 saat itu turut mendapat reaksi dari bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.
“Banyak benda boleh belajar dari menteri-menteri yang bijak pandai. Selamba cikgu aku dulu tipu kat (dekat) sekolah, tidak ajar benda sebegini,” ujarnya.
Sementara itu, menurut pengguna Twitter @JoeLabu311, Zuraida seharusnya melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
"Buatlah kajian sikit. Awak menteri. Bukan ahli mesyuarat tingkap," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian