Orangutan Appeal UK sumbang RM1 juta kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah
Bernama
September 27, 2018 04:39 MYT
September 27, 2018 04:39 MYT
Orangutan Appeal UK, sebuah NGO yang berpusat di United Kingdom, telah menyumbang RM1 juta untuk pembelian tiga buah kenderaan pacuan 4 roda yang diubah suai sepenuhnya untuk kegunaan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah (WRU).
Susan Sheward, pengasas Orangutan Appeal UK, menyerahkan mock cheque bagi jumlah itu pada Khamis kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menerimanya bagi pihak WRU, unit di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Ketika membacakan satu kenyataan kemudian, Sheward berkata beliau percaya kerajaan baharu akan memberikan sumbangan terbaik bagi menyelamatkan hidupan liar di Sabah dan menambah kerajaan negeri telah memperkenalkan larangan bagi kegiatan pembalakan dan penebangan hutan.
"Saya memberitahu Ketua Menteri bahawa sejak 18 tahun yang lalu, Orangutan Appeal UK telah melabur sebanyak RM11.5 juta dan saya memaklumkan kepadanya (Mohd Shafie) usaha yang telah dijalankan termasuk pembaharuan lengkap Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok (di Sandakan) dan penyediaan sembilan kakitangan tempatan untuk bertugas di sana," kata beliau.
Beliau juga berkata Orangutan Appeal UK amat bimbang mengenai ancaman yang dihadapi oleh gajah Pygmy Borneo dan ingin membantu melalui apa cara yang boleh, mungkin melalui program pemulihan dan membiayai pasukan dari Orangutan Appeal UK dan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk mengkaji usaha yang dilakukan di India dan Sri Lanka.
Sementara itu, Sheward berkata pemindahan seekor orang utan jantan bernama "Tiger" dari Sepilok ke hutan simpan Tabin akan dilakukan menggunakan helikopter pada 4 Okt dan beliau bercadang untuk menjemput Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew bersama mereka semasa proses pemindahan itu.
Mohd Shafie menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Orangutan Appeal UK sambil berkata: "Bagi pihak rakyat Sabah, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tulus atas bantuan dan semangat anda yang tidak ternilai dalam membantu Sabah menyelamatkan hidupan liarnya yang ikonik - Orang Utan Borneo.
"Kami terhutang budi kepada anda kerana cadangan anda untuk sekali lagi datang dan membantu Sabah tetapi kali ini untuk menyelamatkan Gajah Borneo", kata beliau.
-- BERNAMA
#hidupan liar
#hutan simpan
#Mohd Shafie Apdal
#Orang Utan
#orangutan appeal UK
#pemuliharaan
#perlindungan
#Sabah
#sepilok
#Tiger
#United Kingdom