Orang Sarawak sabar dulu, syarat EnterSarawak bukan menyusahkan...

Fadilah Sulaiman
Oktober 13, 2021 19:55 MYT
Syarat saringan sebelum kemasukan ke Sarawak telah membantu mengurangkan risiko penyebaran dalam pesawat sekali gus melindungi penumpang dalam pesawat yang sama.
KUCHING: Syarat kemasukan ke Sarawak melalui permohonan ‘EnterSarawak’ adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan kes import ke negeri ini, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, JPBN Sarawak memohon kerjasama serta kesabaran daripada rakyat Sarawak khususnya yang ingin pulang ke tanah air susulan pengumuman pergerakan merentas negeri tanpa permit polis dibenarkan mulai Isnin lalu.
"JPBN ambil maklum ada dalam kalangan rakyat yang tidak sabar ingin pulang berjumpa dengan keluarga tersayang di Sarawak dan mengharapkan kelonggaran penuh diberikan tanpa sebarang permohonan kemasukan. Namun, terdapat sebab-sebab Sarawak masih mengekalkan syarat saringan COVID-19 sebelum kemasukan ke Sarawak.
"Sebanyak 106 kes import B telah dikesan di Sarawak pada bulan Ogos 2021, manakala 83 kes import B dikesan pada bulan September 2021. Kes-kes ini telah dikesan semasa dalam tempoh kuarantin selepas memasuki Sarawak dari negeri-negeri lain,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, syarat saringan sebelum kemasukan ke Sarawak telah membantu mengurangkan risiko penyebaran dalam pesawat sekali gus melindungi penumpang dalam pesawat yang sama.
Walaupun dalam tren penurunan katanya, kes di Sarawak masih tinggi yang mana bilangan kes teruk (kategori 3 hingga 5) juga masih tinggi.
"Maka Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) berharap agar fasiliti kesihatan sedia ada tidak terbeban terutamanya fasiliti ICU, dengan tidak menambahkan lagi bilangan kes dan kluster di komuniti melalui kes import. Ini supaya perkhidmatan optimal dapat diberikan kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.
Dalam pada itu JKNS telah mula memberikan suntikan dos ketiga dan dos penggalak hari ini kepada golongan berisiko tinggi dan petugas barisan hadapan perubatan yang mana mereka akan mendapat perlindungan tambahan daripada jangkitan COVID-19 serta komplikasi teruk jika dijangkiti.
"Pihak JPBN berharap semua anak Sarawak bersabar dan memberi kerjasama untuk melindungi golongan yang berisiko tinggi ini sehingga pemberian dos ketiga dan dos penggalak selesai yang dijangka pada hujung November 2021, tertakluk kepada keputusan dan arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta stok vaksin yang ada,” tambahnya.
Untuk makluman, individu yang ingin memasuki Sarawak masih perlu membuat permohonan dalam ‘EnterSarawak’ serta mematuhi syarat-syarat permohonan termasuklah bukti status ‘lengkap vaksinasi’ serta keputusan ujian COVID-19 yang ‘negatif’ dalam tempoh 3 hari sebelum memasuki Sarawak.
Ujian RTK Antigen (swab) boleh dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan dengan harga RM60, dan keputusan boleh diperolehi dengan cepat.
“Bagi mereka yang terpaksa membuat permohonan semula EnterSarawak (dan melebihi tempoh sahlaku ujian COVID-19) disebabkan penukaran penerbangan oleh syarikat penerbangan, mereka boleh sertakan bukti penukaran penerbangan bagi pertimbangan urusetia EnterSarawak.
“Buat masa ini, bukti status lengkap vaksinasi perlu disertakan di dalam permohonan EnterSarawak agar proses semakan setibanya di Sarawak tidak tertangguh.
“Pertimbangan juga akan dibuat bagi mereka yang tidak memiliki aplikasi MySejahtera. Sarawak akan membuat penambahbaikan dari segi semakan status lengkap vaksinasi agar tidak membebankan penumpang yang memasuki Sarawak,” katanya.
#ENTERSARAWAK #JPBN Sarawak #rentas negeri #penerbangan
;